AHMAD Zakaria (empat dari kiri) bertukar dokumen dengan Dr Noor Azlan.
AHMAD Zakaria (empat dari kiri) bertukar dokumen dengan Dr Noor Azlan.
DARI kiri Dr Shahrim, Mohamad Zin dan Dr Wickneswari (kanan) melawat sawah teres Q rumah tumbuhan di UKM, Bangi.
DARI kiri Dr Shahrim, Mohamad Zin dan Dr Wickneswari (kanan) melawat sawah teres Q rumah tumbuhan di UKM, Bangi.
Oleh Mohamad Hussin


Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menghasilkan penyelidikan padi yang berpotensi untuk menjadi varieti padi baru berhasil tinggi dengan ciri toleran kepada kemarau.

Program dijalankan bersama Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) bagi menggalakkan pembangunan industri padi di negara ini menerusi permeteraian memorandum persefahaman (MoU).

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata MoU itu membabitkan kerjasama penyelidikan bersepadu antara kumpulan penyelidik dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM dengan pegawai Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur DOA.

Beliau berkata, penyelidikan itu bertujuan menilai prestasi titis padi tahan kemarau yang sudah dihasilkan selain mengenal pasti titis padi yang berpotensi untuk menjadi varieti padi baru berhasil tinggi dengan ciri toleran kepada kemarau.

“Tahun lalu, Malaysia mengimport 20 ke 30 peratus bekalan beras dari negara pengeluar lain seperti Thailand, Vietnam dan Pakistan bagi menampung keperluan semasa negara.

“Kerajaan meletakkan sasaran 100 peratus sara diri beras menjelang 2020, namun ia mungkin sukar dicapai kerana pelbagai faktor antaranya perubahan iklim.

“Memandangkan pemanasan global dijangka semakin serius pada masa depan, penghasilan padi yang toleran kepada tekanan abiotik adalah perlu demi memastikan industri padi negara dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani MoU di UKM, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

UKM diwakili Noor Azlan manakala DOA oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek sambil disaksikan Dekan FST UKM Prof Dr Shahrim Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOA Jabar Shaik Mohideen.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur DOA Mohamad Zin Mohd Supaat.

Noor Azlan berkata, hasrat untuk mengadakan kerjasama itu adalah hasil daripada perbincangan awal di antara Prof Dr R Wickneswari dan Dr Noraziyah Abd Aziz Shamsudin dari FST UKM bersama Jabar Shaik dan Mohamad Zin.

“Sebagai sebuah universiti penyelidikan, UKM meletakkan agenda penyelidikan bagi memperkayakan khazanah dalam pelbagai bidang bagi meningkatkan pembangunan negara dan masyarakat.

“Bagi mencapai matlamat ini, UKM bekerjasama erat dengan agensi kerajaan, industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat melalui keterbitan berteraskan pengetahuan merentasi penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:11 AM