Oleh Saiful Affend Sapran

Kuala Lumpur: Meskipun tampil selaku juara bertahan, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dilihat mengambil pendekatan ‘selamat’ untuk skuad remaja negara pada saingan Piala Remaja Asia bermula 14 hingga 22 November depan.

Sasaran yang ditetapkan untuk anak buah Arul Selvaraj ialah menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik sekali gus menempah tiket ke Piala Dunia Remaja 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif MHC K Logan Raj berkata, sasaran itu dipersetujui pada mesyuarat pengurusan skuad kebangsaan yang dipengerusikan Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal semalam.

“Sasaran utama memastikan skuad negara layak ke Piala Dunia Remaja tahun depan.

“Sebab itu sasaran ditetapkan adalah empat terbaik dengan keempat-empat negara itu layak terus ke Piala Dunia.

“Kini skuad negara sedang giat menjalani latihan untuk saingan yang berlangsung di Kuantan (Pahang) itu,” katanya.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama-sama India, Jepun dan China manakala Kumpulan B dihuni Korea, Pakistan, Oman dan Bangladesh.

Tiga tahun lalu, skuad remaja negara atau lebih dikenali Projek 2013 mencipta sejarah apabila muncul juara buat kali pertama pada saingan yang berlangsung di Melaka.

Di bawah bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ketika itu, skuad negara bukan saja mengatasi sasaran ditetapkan dengan mara ke separuh akhir, tetapi turut berjaya menewaskan Pakistan pada aksi final.

Kecemerlangan skuad negara tidak terhenti di situ saja, sebaliknya anak buah Dhaarma turut cemerlang pada Piala Dunia Remaja di India apabila menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 9:04 AM