Anyeonghaseyo! Perbincangan mengenai agensi pengurusan artis yang mana paling berkuasa di Korea Selatan sangat menarik.

Setakat ini tiga agensi yang menjadi sebutan peminat ialah SM, YG, dan JYP Entertainment.

Dalam kalangan pengikut industri hiburan di Korea Selatan, ramai menyifatkan untuk menyertai agensi terbabit cukup sukar seolah-olah mahu melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard.

Mereka menyamakan senario itu di mana terlalu susah untuk meyakinkan agensi bagi merekrut bakat baru terutama SM dan YG.

Menerusi perdebatan dengan topik ‘Company Power SM Power YG Power’, peminat tampil dengan teori masing-masing.

Benarkah kejayaan menyertai agensi itu seperti diterima universiti tersohor atau syarikat gergasi?

“Bakat baru memang sangat sukar untuk menyertai SM dan YG. Mereka perlu ada bakat luar biasa untuk lebih menyerlah.

“Biarpun syarikat berkenaan mempunyai kuasa besar, namun artis sendiri sangat memerlukan bakat untuk mengambil kesempatan terhadap mereka.”

Demikian antara komen peminat di Internet.

Beralih cerita panas Ulzzang! minggu ini, kini heboh diperkatakan taktik ‘licik’ anggota WINNER iaitu Song Mino dalam program Show Me The Money 4.

Kejayaannya ke final program itu nampaknya mencetuskan perdebatan.

Ini kerana pada pusingan penentuan ke final, Song Mino mendapat bantuan Taeyang, rakannya di YG Entertainment sekali gus membuatkan peminat marah kerana dia mempergunakan YG.

Penyanyi itu sudah menjadi sasaran peserta lain sejak awal-awal lagi disebabkan latar belakangnya.

Dengan statusnya sebagai idola, peserta lain sudah tahu kemenangan pasti berpihak kepadanya selain akan dibantu pihak YG.

Song Mino bagaimanapun sedaya-upaya membuktikan bahawa dia juga mampu bersaing. Tidak ketinggalan, dia mencipta kontroversi menggunakan lirik yang mengguris orang awam di Korea Selatan.

Bagaimanapun, pihak YG tampil dengan penjelasan tersendiri akibat penyanyi itu dipertikai kerana dibantu Taeyang ketika separuh akhir.

“Taeyang memang suka mengajar pelatih baru dengan koreografinya berbanding keluar berjalan-jalan pada hari dia tidak bekerja. Song Mino pun sudah seperti adik-beradiknya dan apa salahnya mereka bergabung tenaga,” kata wakilnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 10:07 AM