IPOH: Warga emas maut apabila motosikalnya merempuh sekumpulan kerbau yang sedang melintas jalan di Kilometer 43, Jalan Ayer Kuning-Teluk Intan dekat Kampar semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, Liyang Kah Chong atau Leong Kah Choi, 80, cedera di kepala dan mati ketika dirawat di Hospital Kampar.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada 8.15 malam ketika mangsa dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya di Taman Eastern, Kampar.

"Mangsa tidak dapat menghentikan motosikalnya apabila tiba-tiba sekumpulan kerbau melintas jalan di hadapannya," katanya ketika dihubungi.

Dalam satu lagi nahas, penunggang motosikal terbunuh selepas dirempuh kenderaan dari arah belakang di Kilometer 10, Jalan Sungkai-Besaut dekat Tapah malam tadi.

Abdullah Latif Husin, 53, dari Kampung Tiang Bertarah, Sungkai yang cedera parah meninggal di tempat kejadian.

Pemandu kenderaan terbabit menghilangkan diri selepas kemalangan, katanya.

Beliau meminta saksi kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di talian 05-2451222 atau balai polis berhampiran. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 1:37 PM