KEMUNGKINAN pelbagai komplikasi kepada mata.
KEMUNGKINAN pelbagai komplikasi kepada mata.
PEMAKAI digalak tukar ikut tempoh ditetapkan, jangan
PEMAKAI digalak tukar ikut tempoh ditetapkan, jangan
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Pemakaian kanta sentuh kini sema­kin sinonim dengan masyarakat di negara ini khususnya golongan wa­nita yang memilih kaedah terbabit sebagai kemudahan menggantikan cermin mata atau sekadar mahu berfesyen.

Lambakan kanta sentuh di pasaran dengan pelbagai jenama serta pengeluar pasti memberi pilihan kepada penggunanya selain ia turut disediakan dalam beberapa pilihan warna yang sering menarik minat wanita untuk menggayakannya.

Namun, pemakaian kanta sentuh ini pada hakikatnya memerlukan penjagaan yang lebih rapi berbanding penggunaan cermin mata terutama bagi memastikan mata tidak rosak atau terkena pelbagai jenis jangkitan yang berbahaya.

Acanthamoeba adalah antara protozoa hidup bebas yang tersebar luas di pelbagai persekitaran air, tanah, udara, habuk dan debu serta berada di sekitar habitat manusia.

Parasit ini boleh wujud dalam dua peringkat hidup iaitu trofozoit dan sista serta kajian epidemiologi keratitis Acanthamoeba di beberapa negara menunjukkan lebih 80 peratus penyakit ini membabitkan pemakai kanta sentuh.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Makmal Perubatan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam, Dr Tunku Shahrul Anuar Tunku Ahmad Basri, kes pertama keratitis di Malaysia dilaporkan pada 1995 yang berlaku pada seorang wanita yang memakai kanta sentuh untuk suatu tempoh yang lama menyebabkan kecederaan pada epitelium korneanya.

Menurutnya, penyakit itu boleh menyebabkan jangkitan pada mata dan sistem saraf pusat yang mana ia boleh menyebab­kan dua sindrom klinikal yang ketara iaitu keratitis Acanthamoeba (pengguna kanta sentuh) dan ensefalitis amebik bergranuloma (bukan pengguna kanta sentuh).

“Keratitis Acanthamoeba dilaporkan di pelbagai negara di seluruh dunia dan menjangkiti semua pering­kat usia, bangsa atau jantina. Ia dilaporkan jarang berlaku dan kebanyakan kes dikaitkan dengan kecederaan pada kornea mata akibat kemasukan bendasing dan seterusnya membolehkan penembusan ke dalam stroma mata.

“Namun, bermula pada 1984, terdapat peningkatan kes yang dilaporkan termasuk yang tidak lagi membabitkan kecederaan pada mata dan ia lebih membimbangkan,” katanya.

Punca keratitis Acanthamoeba:

1. Menggunakan air paip untuk mencuci kanta sentuh dan/bekas simpanan kanta sentuh.

2. Berenang menggunakan kanta sentuh.

3. Mencuci kanta sentuh dan bekas simpanan de­ngan larutan salin (tanpa disinfektan).

4. Memakai kanta sentuh secara berterusan dan/atau ketika tidur.

5. Pencemaran larutan kanta sentuh akibat terdedah atau terlepas tarikh luputnya.

Tanda jangkitan:

1. Mata merah.

2. Mata berair.

3. Sensitif terhadap cahaya (fotofobia).

4. Pandangan kabur.

5. Perasaan adanya sesuatu pada mata.

Antibiotik titisan mata seperti Neomycin sering digunakan di dalam rawatan klinikal keratitis Acanthamoeba selain kombinasi antara Neomycin dan Propamidine juga didapati berkesan dalam merawat kebanyakan kes keratitis Acanthamoeba.

Langkah pencegahan:

1. Pemakai digalakkan untuk menukar kanta sentuh mengikut tempoh yang disyorkan dan tidak memakai kanta sentuh yang sudah tamat tempoh.

2. Bekas simpanan kanta sentuh juga perlu ditukar secara kerap dan bekas terbabit hendaklah dicuci sekurang-kurangnya sekali setiap minggu de­ngan menggunakan pencuci kanta sentuh dan berus kecil.

3. Pemakaian kanta sentuh ketika berenang di laut atau di kolam renang amat tidak digalakkan.

4. Oleh kerana larutan salin tidak mempunyai kuasa disinfeksi, justeru larutan salin hanya boleh digunakan untuk membilas dan bukan untuk merendam kanta sentuh.

5. Menggunakan larutan salin yang dibuka lebih daripada 30 hari tidak digalakkan.

6. Penggunaan air paip untuk mencuci bekas kanta sentuh juga tidak digalakkan.

Menurut Dr Tunku Shahrul Anuar yang juga Ahli Persatuan Parasitologi & Perubatan Tropika Malaysia, penggunaan larutan disinfeksi amat penting dalam pemakaian kanta sentuh.

“Walaupun terdapat pelbagai larutan disinfek­si yang dijual di pasaran dan hampir semuanya di­syorkan sangat efektif terhadap parasit penyakit ini, secara klinikalnya tidak semua dapat dibuktikan boleh menghapuskan sista Acanthamoeba dengan berkesan.

“Setiap larutan disinfeksi kebiasaannya didatangkan dengan maklumat tersendiri mengenai cara penggunaan larutan ini secara efektif seperti tempoh merendam dan keperluan menggosok kanta sentuh secara mekanikal,” kata­nya.

Hakikatnya, faktor peng­guna juga penting untuk memastikan prosedur disinfeksi dijalankan dengan betul sebagaimana yang disyorkan pengeluar larutan disinfeksi itu.

“Namun, titik mula untuk membanteras masalah jangkitan sebegini memerlukan kerjasama antara pengamal kanta sentuh dan pemakai kanta sentuh.

“Pengamal kanta sentuh berperanan memasang dan memastikan kanta sentuh yang dipasang adalah optimum dan dapat memberi penglihatan terbaik,” katanya.

Dr Tunku Shahrul Anuar berkata, optometris juga akan memberi perundingan mengenai penjagaan kanta sentuh serta tunjuk ajar ketika penyerahan kanta sentuh.

“Oleh itu, peranan seorang pemakai kanta sentuh itu sendiri sangat penting dan pemakai kanta sentuh perlu mendengar dan mengamalkan segala panduan.

“Penjagaan kanta sentuh tidak boleh sesekali dipandang ringan dan sekiranya kebersihan dan cara penjagaan kanta sentuh tidak diamalkan dengan baik, lama-kelamaan pencemaran dan seterusnya jangkitan oleh parasit Acanthamoeba boleh berlaku,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 12:03 PM