GAMBAR ini diambil ketika Abdul Hadi membuat ucapan Perasmian Pelancaran Ulang Tahun PAS Perak di Pejabat Pas Kuala Kangsar, pada November 2014. FAIL Supian Ahmad
GAMBAR ini diambil ketika Abdul Hadi membuat ucapan Perasmian Pelancaran Ulang Tahun PAS Perak di Pejabat Pas Kuala Kangsar, pada November 2014. FAIL Supian Ahmad
Oleh Norul Awatif Romli

Alor Setar: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta semua wakil rakyat parti itu yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) mengosongkan kerusi masing-masing terlebih dulu jika memilih untuk menyertai Parti Amanah Rakyat (Amanah).

Abdul Hadi berkata, tindakan itu perlu sebagai tanda mereka yang kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen tidak ingkar kepada baiah (angkat sumpah) ketika menerima tawaran untuk bertanding di kawasan tertentu pada PRU13.

Bagaimanapun, katanya, ia terpulang kepada maruah masing-masing sebagai pemimpin sama ada mahu mematuhi baiah yang dibuat atau tidak kerana mereka sudah berjanji akan mengosongkan kerusi masing-masing.

"Sepatutnya mereka perlu mengosongkan kerusi jika sudah menyertai parti lain namun terpulang kepada maruah mereka kerana maklum dan mengetahui mengenai baiah yang dibuat.

"Hal ini demikian kerana keahlian mereka akan gugur secara automatik sekiranya menyertai parti lain dan sekiranya mereka kata parti Amanah itu mendapat sokongan semua pihak, terpulang kepada mereka juga mahu tulis sokongan seberapa banyak atas kertas asalkan berpijak di bumi yang nyata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan parti Amanah dijangka hujung bulan ini, pada sidang media di Komplels PAS Kedah di Kota Sarang semut, di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, Amanah dijangka dibarisi kepimpinan PAS masa kini yang disisihkan ketika Muktamar PAS berlangsung pada Jun lalu.

Difahamkan, kumpulan berkenaan yang antaranya dibarisi bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan pencabar Hadi bagi kerusi Presiden, Ustaz Ahmad Awang, ketika ini dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Dalam pada itu, Hadi berkata, PAS masih lagi sebuah parti Islam yang kukuh dan mendapat sokongan daripada pergerakan Islam lain, termasuk dari dalam dan luar negara.

"Kita pernah menghadapi cabaran yang lebih besar daripada ini dan sentiasa istiqamah dengan perjuagan kita kerana kita yakin bahawa Islam adalah penyelesai masalah dan penyelamat," katanya

Selain itu, Hadi memberitahu jumlah kemasukan ahli baru ke dalam PAS terdiri daripada golongan profesional juga meningkat kepada 9,000 orang bulan lalu.

Namun, katanya, PAS hanya sempat memproses kira-kira 6,000 borang permohonan dan mengalu-alukan kasukan ahli baru lain terutama di kalangam anak muda pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 7:53 PM