Kuala Lumpur: Malaysia mencapai salah satu peringkat tertinggi dalam kewangan inklusif dalam kalangan negara Asia Tenggara terutama menerusi kebolehan akses perbankan dan dasar polisi melalui telefon mudah alih.

Pengarah Negara Bank Dunia bagi Asia Tenggara, Ulrich Zachau berkata, teknologi mampu memainkan peranan penting dalam membawa masyarakat kepada sistem perbankan, sekali gus keluar daripada kemiskinan.

“Malaysia berjaya menjadi model dalam kewangan inklusif bagi negara membangun lain di seluruh dunia.

“Kejayaan pembangunan Malaysia juga adalah disebabkan oleh sektor kewangan yang inovatif, berdaya tahan dan inklusif,” katanya di Persidangan Findex Global Bank Dunia di sini, semalam.

Pangkalan data The Global Findex yang dilancarkan oleh Bank Dunia pada 2011 menyediakan petunjuk bagaimana individu di 143 negara menyimpan, meminjam, membuat bayaran dan menguruskan risiko.

Laporan data bagi Edisi 2014 mendedahkan bahawa 62 peratus orang dewasa di seluruh dunia mempunyai akaun di bank atau jenis lain di institusi kewangan dengan penyedia wang mudah alih.

Laporan itu juga menunjukkan Malaysia mempunyai tahap yang lebih tinggi daripada segi pemilikan akaun bank berbanding dengan kadar global sebanyak 62 peratus pada 2014 dan tahap kedua tertinggi pemilikan akaun bank untuk orang dewasa dalam kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura.

Pemilikan akaun untuk orang dewasa daripada 40 peratus isi rumah miskin di Malaysia meningkat kepada 76 peratus berbanding 50 peratus sebelumnya.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, Global Findex adalah salah satu sumber yang paling komprehensif dan berwibawa bagi rangkuman data kewangan.

“Kami berbesar hati Kumpulan Bank Dunia telah memilih bandar kosmopolitan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah pelancaran Global Findex Asia,” katanya pada persidangan itu.

Zeti berkata, sejak penubuhan BNM pada 1959, rangkuman kewangan adalah agenda penting.

“Kita kini diletakkan di kedudukan utama dari segi akses kepada pembiayaan dan ia perkembangan yang ketara dan kini dapat dilihat di semua bandar utama negara mempunyai bank,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 3:18 PM