AZMI (dua dari kiri) memberi arahan kepada Fattah dan Fathia untuk satu babak dalam drama ini.
AZMI (dua dari kiri) memberi arahan kepada Fattah dan Fathia untuk satu babak dalam drama ini.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Masih mengekalkan tema cinta, drama bersiri terbaru terbitan Orangetree Production berjudul Plan Cinta Tak Jadi ini bagaimanapun menampilkan sedikit kelainan berbanding drama sebelumnya.

Elemen komedi romantik menjadi plot utama penceritaan membabitkan pelakon utamanya Fattah Amin dan Fathia.

Keserasian mereka berdua menjayakan watak masing-masing menghidupkan lagi jalan cerita drama berkenaan.

Pengarahnya, Azmi Hatta berkata, garis panduan ditetapkan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) yang tidak membenarkan babak bersentuhan dan romantik bagaimanapun tidak menjejaskan skrip dan keseluruhan penceritaan.

“Mulanya ia dianggap menyekat kreativiti pengarah dan pelakon, tapi apabila difikir semula ada baiknya tindakan LPF itu. Ia sebenarnya memberi peluang buat tenaga produksi tampil lebih kretif dalam menghasilkan sesuatu karya sekali gus mencabar sejauh mana kehebatan pe­ngarah itu berkarya.

“Dalam drama ini, masih ada adegan mesra tapi tidak semestinya perlu bersentuhan. Pada saya ia tidak mendatangkan masalah pun. Apabila semua pihak faham kehendak pihak berkenaan, saya percaya lama-kelamaan ia akan menjadi perkara biasa,” katanya.

Bagi Azmi, dalam sesebuah drama paling penting adalah mesej yang ingin disampaikan.

Selain itu, pengalaman­nya bekerja dengan Fattah dan Fathia amat mudah kerana mereka sudah memahami peranan diberi.

“Saya pernah bekerja dengan mereka sebelum ini. Fattah sudah menampakkan kemajuan dari segi lakonan berbanding dalam drama Playboy Itu Suami Aku. Memang tidak ada masalah bekerja dengan mereka.

“Cuma kami berdepan situasi mengejar masa. Ia memang mencabar kerana ada satu ketika kami perlu habiskan 40 babak sehari. Keseluruhan penggambaran mengambil masa 55 hari,” katanya.

Plan Cinta Tak Jadi adalah gandingan ketiga Fattah dan Fathia selepas drama Bencinta dan telefilem Aku Tunggu Kau.

Drama ini turut menampilkan lakonan Ramona Zam Zam, Arja Lee, GBob dan Kaka Azraff.

Menariknya, penyanyi Mark Adam berlakon buat pertama kali dalam drama ini.

Ditayangkan setiap Isnin bermula 10 Ogos lalu di saluran Astro Ria (104), drama ini mengisahkan pengorbanan Melina lakonan Fathia dalam usaha menggembirakan rakannya, Cici (Ramona Zam Zam) selepas dikecewakan kekasihnya Fariz (Mark Adam).

Melina mengatur rancangan dengan memperkenalkan Cici kepada rakan sekolahya iaitu Suffian (Arja Lee).

Mengetahui status Suffian yang sudah berkahwin, Melina kemudian meminta tolong jiran yang juga musuh ketatnya, Anaz (Fattah) bagi membantu memutuskan hubungan terbabit.

Usaha terbabit berbaloi, namun Cici akhirnya jatuh cinta dengan Anaz. Pada masa sama, Anaz dan Melina saling menyimpan rasa cinta. Namun perasaan itu dipendam bagi kebaikan mereka bersama.

Selepas pelbagai konflik dilalui, persahabatan antara Melina dan Cici semakin renggang dan putus.

Anaz pula sudah tidak sanggup menyembunyikan perasaannya lantas melamar Melina.

Disebabkan kisah silam rakannya, Melina menolak lamaran Anaz.

Keserasian Fattah dan Fathia

Kembali bekerjasama dengan Azmi Hatta dan Fathia bonus buat Fattah yang juga bekas juara Hero Remaja 2012 ini.

Pengalaman sebelum ini dijadikan peluang buat Fattah memperbaiki segala kelemahan.

“Dari segi keserasian dengan Fathia, saya OK. Cuma dengan pelakon lain saya perlu biasakan diri. Berlakon dalam drama ini sangat mencabar kerana 80 peratus penggambaran dijalankan Ramadan lalu.

“Ditambah pula babak dan dialog membabitkan saya dan Fathia dilakukan di luar rumah. Memang sepanjang hari berpanas. Kemudian seminggu selepas Aidilfitri kami sambung semula penggambaran,” katanya.

Jarang melakonkan watak berunsurkan komedi, Fattah mengharapkan peminat dan penonton menyukai lakonannya kali ini.

“Bukan mudah nak melakonkan watak ini. Disebabkan ia genre komedi romantik, jadi saya kena mempersembahkan watak Anaz dengan lebih bersahaja dari awal hingga akhir,” katanya.

Bagi Fathia pula, melakonkan watak Melina satu pengalaman baru untuknya berbanding watak sebelum ini.

“Semua tahu saya sering membawakan watak serius dan air mata. Kali ini, wataknya sedikit kelam-kabut. Jadi cara penyampaiannya berbeza. Malah ada beberapa babak saya perlu lakukan bagi menggambarkan personaliti Melina,” katanya.

Fathia juga memuji sikap Azmi yang sentiasa tampil dengan idea baru ketika di lokasi.

“Kebanyakan watak sebelum ini saya buat sendiri, tapi apabila bekerja dengan Azmi dia lebih mewarnai watak saya. Dia selalu memberikan idea yang tak dijangka. Dia memang kreatif.

“Bergandingan dengan Fattah pula, dia sangat profesional jika dibandingkan dengan pelakon lelaki lain yang pernah berlakon dengan saya sebelum ini. Bagi setiap babak, dia duduk berbincang dulu dengan saya sebelum mula penggambaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 12:17 PM