Mohd Firdaus meninggal di tempat kejadian. FOTO ihsan PDRM
Mohd Firdaus meninggal di tempat kejadian. FOTO ihsan PDRM
Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Seorang jurutera maut selepas melanggar belakang lori dan jatuh sebelum diseret sejauh 15 meter oleh sebuah kereta di Kilometer 20.5 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) arah Putrajaya tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.42 tengah hari itu, mangsa, Mohd Firdaus Ahmad,30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Mangsa yang berasal dari Kampung Bukit Kerayong, Kapar itu dikatakan dalam perjalanan ke Putrajaya untuk menghadiri mesyuarat.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori yang sedang menjalankan kerja pemasangan kabel berhenti di lorong kecemasan.

"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Scrambler datang dari arah Kuala Lumpur gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kanan lori yang diletakkan di kiri jalan.

"Perlanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh di lorong tengah sebelum sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki datang dari arah sama gagal mengelak dan melanggar mangsa,"katanya.

Razimi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 9:29 PM