TAN bersama Pengerusi OrphanCARE Tan Sri Faizah Mohd Tahir pada majlis pelancaran Hari Bayi Pertama Malaysia.
TAN bersama Pengerusi OrphanCARE Tan Sri Faizah Mohd Tahir pada majlis pelancaran Hari Bayi Pertama Malaysia.
TAN dan Faizah gembira bersama pengunjung.
TAN dan Faizah gembira bersama pengunjung.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Kejayaan yang besar bermula dari langkah yang kecil. Bagi kebanyakan ibu bapa, permulaan paling baik adalah bersedia menjadi ibu bapa yang sempurna.

Kehadiran bayi menandakan bermulanya satu perjalanan indah yang memerlukan kasih sayang dan penjagaan sepenuhnya. Lebih penting, perjalanan ini berdepan pengalaman hidup paling berharga yang dipelajari sepanjang membesarkan anak-anak.

Menyedari hakikat pentingnya memori sebagai ibu bapa, Tollyjoy dan Yayasan OrphanCARE berganding bahu meraikan kelahiran bayi dengan melancarkan Hari Bayi Pertama di Malaysia.

Bertempat di Hospital Pakar Damansara KPJ (KPJ DSH), pelancaran hari Bayi Tollyjoy 2015 istimewa khusus untuk menghargai bayi dan menyuntik semangat kepada ibu bapa dalam menjaga dan memberi persediaan kepada si kecil.

Selain tidur dan menangis, menyusu dan menukar lampin, bayi boleh ‘mengajar’ perkara yang mungkin tidak dapat dipelajari sendiri. Seperti ibu dan bapa sedia maklum mengenai peranan mereka, banyak perkara yang boleh dilakukan untuk meraikan cahaya mata mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tollyjoy Corporation Tan Wee Keng, jenama terbabit sangat teruja untuk mengumumkan Hari Bayi Pertama di Malaysia.

“Kita ada Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Kanak-kanak dan Hari Ibu Bapa. Bayi juga berhak untuk mendapat hari mereka untuk dihargai dan diraikan. Fokus kami pada hari istimewa ini adalah menyediakan yang terbaik untuk ibu bapa dan bayi, sejajar dengan misi kami.

“Kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan OrphanCARE untuk mewujudkan peluang ini khusus buat ibu bapa di samping memberi keseronokan kepada anak-anak serta mempelajari lebih lanjut mengenai penjagaan bayi,” katanya.

Majlis ini juga menandakan kerjasama penuh bermakna antara Tollyjoy dan Yayasan OrphanCARE de­ngan objektif menyediakan setiap anak yatim dan bayi yang ditinggalkan di Malaysia sebuah rumah pe­nyayang melalui khidmat pengambilan anak angkat serta program perlindungan bayi yang diberikan secara meluas melalui kerjasama dengan Kumpulan KPJ.

Pada masa ini, terdapat lapan pusat perlindungan bayi KPJ di Semenanjung yang memberi sokongan kepada objektif ini.

Pemegang Amanah Yayasan OrphanCARE Datin Elya Adnan menjelaskan bayi dilahirkan dengan perasaan ingin disayangi, dihargai serta emosi yang inginkan keselamatan. Tugas OrphanCARE adalah memastikan setiap bayi diberi peluang menikmati kehidupan sihat dalam keluarga selamat.

“Pada masa sama, kami dapat memenuhi keinginan pasangan yang gagal untuk menimang cahaya mata. Ini masa untuk mengiktiraf kepentingan keluarga, kasih sayang dan penjagaan kepada setiap kanak-kanak,” katanya.

Sejajar slogan, Meraikan Bayi Yang Anda Sayangi, majlis ini turut menjemput ibu bapa, bayi dan pakar dalam industri penjagaan bayi untuk berkongsi pengalaman dalam sesi minum petang yang memberi tumpuan kepada penjagaan bayi dan ikatan kasih sayang bayi.

Tetamu dipamerkan dengan siri aktiviti permainan menyeronokkan dan berwawasan, termasuk ceramah interaktif Perunding Pediatrik & Neonatologi KPJ DSH Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar.

Semasa menyampaikan sesi ceramah mengenai Peranan Ibu Bapa dalam Meningkatkan Emosi Cemerlang Kanak-kanak, Dr Mohammad Iqbal menyatakan bayi memerlukan sejumlah besar perhatian dan penjagaan yang penuh dengan kasih sayang terutama pada tahun pertama.

Persekitaran yang dipenuhi dengan emosi positif akan membantu bayi mempertingkatkan rasa selamat dan memberikan mereka suntikan emosi yang penting untuk pembelajaran dan perkembangan mereka.

Walaupun tugas sebagai ibu bapa kadangkala melalui saat mencabar di samping tugasan lain yang lebih menekan, sebagai ibu bapa, penting untuk meluangkan sedikit masa setiap hari untuk menyelami dan menghargai bayi.

“Anda hanya perlu meluangkan sedikit masa untuk memeluk, memegang tangannya, bercakap atau bermain dengan bayi kerana ini akan melahirkan saat yang paling penting, tidak kira betapa kecil pada pandangan anda.

“Setiap bayi berhak menikmati permulaan yang baik dalam kehidupan mereka dan kami berharap untuk terus menyokong Yayasan OrphanCARE dalam membantu menghulurkan bantuan dan meneruskan penjagaan kepada bayi, terutama mereka yang kurang bernasib baik,” kata Tan.

Sebagai sebahagian daripada pengalaman sesi minum petang, tetamu dapat melawat gerai foto bertema untuk sesi bergambar bersama keluarga serta Stesen Bayi Berpakaian dan beberapa koleksi terkini pakaian bayi Tollyjoy.

Untuk maklumat lanjut mengenai Tollyjoy, sila layari www.tollyjoy.com.sg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 11:16 AM