Kuantan: Pelajar tajaan Yayasan Pahang di Mesir dan Jordan akan menerima bantuan kewangan tambahan bersifat sementara bagi mengurangkan beban kewangan berikutan kesan kejatuhan ringgit ketika ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata pelajar di Mesir akan menerima bantuan tambahan sebanyak RM3,000 setahun, menjadikan jumlah keseluruhan tajaan kepada RM9,000 manakala bagi pelajar di Jordan ditambah RM5,000 menjadikan jumlah tajaan RM25,000.

“Bagaimanapun, pemberian bantuan tambahan ini akan dikaji semula apabila nilai ringgit kembali pulih,” katanya berucap pada Majlis Pengurniaan Anugerah Cemerlang dan Khatam Hafazan serta Perasmian Program Tafaqquh Fiddin Negeri Pahang, di sini, semalam.

Pengurniaan anugerah cemerlang itu disempurnakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Turut hadir Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Buat masa ini, Yayasan Pahang menaja 70 pelajar di Mesir dan 53 pelajar di Jordan.

Mengulas mengenai kejayaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Adnan berkata maahad tahfiz itu mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai sekolah cemerlang yang mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014.

“Di peringkat diploma al-Quran, pada Mac 2015, sebanyak 53.3 peratus daripada pelajar diploma mendapat pangkat Mumtaz, iaitu pencapaian tertinggi sekaligus meletakkan maahad tahfiz Pahang sebagai terbaik seluruh Malaysia. Ini merupakan kejayaan ketujuh berturut-turut,” katanya.

Adnan juga memaklumkan bahawa alumni maahad tahfiz Pahang kini berjumlah 167 orang yang terdiri daripada lulusan universiti dalam dan luar negara yang kini berkhidmat dalam sektor perubatan, pergigian, kejuruteraan dan ekonomi.

Mengulas mengenai program Taffaquh Fiddin iaitu pengajian Islam, Adnan berkata program itu disertai 570 peserta di empat lokasi iaitu Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dan Masjid Tengku Ampuan Afzan di Indera Mahkota di Kuantan, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (Bentong) dan Masjid Sultan Shah Al-Haj (Pekan).

Pengajian itu diadakan selama tiga jam pada setiap Sabtu dan Ahad, mengambil masa selama 16 hingga 18 bulan dan terbuka kepada semua masyarakat tanpa mengira had umur, taraf pendidikan dan kelayakan.

Sementara itu, Tengku Abdullah pula dalam ucapannya menzahirkan hasrat mahu melihat maahad tahfiz itu dikembangkan ke daerah Pahang barat bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Pahang menerima manfaat penubuhannya.

“Kita juga boleh membuat konsep usaha sama dengan pihak yang berminat untuk melabur dengan maahad tahfiz ini. Paling penting ialah kita turut mendapat keberkatan daripada pelaburan memantapkan pendidikan menerusi al-Quran,” titah baginda.

Pada majlis itu, Tengku Abdullah turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 136 penerima pelbagai kategori seperti kecemerlangan khatam hafazan 30 juzuk, Kecemerlangan SPM 2014, Kecemerlangan Diploma Tahfiz al-Quran, Kecemerlangan Ko-Kurikulum dan Kecemerlangan Alumni. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 5:42 PM