New Delhi: Perdana Menteri India Narendra Modi semalam memberi tempoh 1,000 hari bagi setiap kampung di negara itu dibekalkan elektrik.

Berucap sempena hari kemerdekaan India, Modi menggesa kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap elektrik memastikan semua rumah di negara itu disambung dengan bekalan itu.

“Walaupun selepas puluhan tahun merdeka, masih ada 18,500 kampung di India yang tidak mempunyai bekalan elektrik. Saya merayu kepada kerajaan negeri dan mereka yang ada kepentingan dengannnya supaya menyambung kampung berkenaan dengan sistem elektrik dalam masa 1,000 hari,” katanya.

Perdana menteri berhaluan kanan itu yang dituduh tidak bertindak secukupnya untuk membantu golongan termiskin India juga berkata, kerajaannya berjaya membantu 170 juta penduduk membuka akaun bank untuk kali pertama di bawah skim yang ditadbir kerajaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:05 AM