PERIKSA suis kipas automatik.
PERIKSA suis kipas automatik.

Saya memandu kereta buatan Eropah dan mendapati enjinnya kerap panas ketika hujan tetapi bagi pemanduan biasa pada hari panas, suhunya kekal dalam keadaan normal, cuma sesekali berada di tahap separuh.

Pemeriksaan radiator mendapati aliran cecair adalah baik dalam enjin, manakala kipas penyejuknya juga beroperasi.

Kerana itu saya risau apabila mendapati suhu enjin mula meningkat lebih daripada tahap separuh, terutama dalam kesesakan jalan raya, ketika hujan.

Bukankah enjin kenderaan akan menjadi lebih sejuk ketika memandu dalam hujan dan waktu malam? Apakah masalah enjin kereta saya?

AZLAN

Perak

Kebanyakan enjin pembakaran dalaman disejuk menerusi sistem sejukan cecair menggunakan penukar haba (radiator).

Kebanyakan cecair ini menggunakan campuran air dan bahan kimia seperti bahan anti beku dan perencat karat yang dipanggil penyejuk enjin (coolant).

Setengah enjin langsung tidak menggunakan air dan hanya berbekalkan cecair dengan ciri-ciri berbeza seperti ‘Propylene Glycol’ atau gabungan ‘Propylene Glycol’ dan ‘Glikol Etilena’.

Sistem sejukan enjin akan mengepam cecair penyejuk melalui dinding enjin dan dialirkan ke dalam radiator. Sirip penyejukan radiator ini akan membebaskan haba ke udara apabila kenderaan bergerak.

Apabila suhu meningkat, aruhan udara melalui sirip radiator ini akan dibantu oleh kipas penyejuk yang beroperasi secara automatik bila diperlukan dan dikawal suis pengesan suhu.

Jika suis ini rosak, kipas penyejuk tidak beroperasi ketika suhu enjin meningkat, menyebabkan ia menjadi panas. Kipas ini juga kerap dihubungkan litarnya de­ngan sistem penyaman udara. Ini membantu menyejukkan sistem penyaman udara dan akan menghidupkan kipas penyejuk radiator setiap kali penyaman udara digunakan.

Ada kemungkinan suis pengawal operasi kipas penyejuk kereta anda rosak, menyebabkan ia tidak berfungsi sehingga membuat­kan enjin menjadi panas.

Cuma, anda mungkin tidak mengalami kepanasan enjin ketika pemanduan biasa kerana sentiasa menggunakan penyaman udara, oleh itu kipas penyejuk turut beroperasi dan menurunkan suhu enjin.

Namun bila hujan, sistem penyaman udara akan beroperasi hanya sekali sekala bagi mengekalkan suhu rendah di dalam kabin. Ini sekali gus menyebabkan kipas penyejuk beroperasi hanya sesekali yang menyebabkan suhu enjin terus meningkat walaupun waktu hujan.

Ia juga mungkin disebabkan keadaan jalan raya sesak dan kenderaan terhenti, yang turut mengurangkan aliran udara melalui sirip radiator serta menyebabkan suhu enjin meningkat.

Dapatkan mekanik untuk memeriksa suis kipas automatik, dan gantikan jika ia nyata rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:01 AM