EJA bersama suami, Silahuddin dan Nur Eishal.
EJA bersama suami, Silahuddin dan Nur Eishal.
Oleh Ramlah Zainal


Hampir dua dekad berkecimpung dalam bidang seni, lakonan sudah sebati dengan dirinya.

Malah, kata pelakon berkaliber Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Eja, 43, walaupun sudah bergelar ibu dan berhijab, tiada istilah bersara baginya.

“Selepas berumah tangga dan mengandung, saya berehat hampir dua setengah tahun daripada bidang lakonan untuk memberi fokus sepenuhnya kepada keluarga dan membesarkan anak.

“Saya bertuah kerana suami cukup memahami dan tidak menghalang kembali berlakon, tetapi meletakkan syarat ke­utamaan mesti diberikan kepada keluarga

“Apa yang penting, saya perlu bijak memastikan keluarga dan karier seni bergerak seiringan,” katanya.

Eja turut menegaskan dia akan terus aktif berlakon selagi ada tawaran kerana itu adalah periuk nasinya.

“Saya masuk bidang ini kerana minat mendalam dan ikhlas dalam setiap kerja.

“Sekiranya sampai masa meninggalkan bidang seni satu hari nanti saya mahu orang ingat kerja saya selama ini.

“Selagi ada permintaan saya akan terus berlakon dan berusaha memartabatkan industri seni tanah air,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Silahuddin Jamaluddin dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Eishal, 7.

Berdakwah menerusi lakonan

Bukan ‘demand’ sebaliknya Eja cukup selektif dalam menerima tawaran sejak dulu.

Sebagai pelakon berpengalaman dia hanya memilih naskhah bagus dan karakter yang meninggalkan impak mendalam.

“Saya tidak kisah watak kecil atau pembantu kerana apa yang penting karakter itu melekat di hati penonton.

“Saya pernah bawa watak pembantu, kakak kepada watak lakonan Fazura yang menghidap kanser dalam filem Manisnya Cinta arahan Bernard Chauly yang mendapat maklum balas memberangsangkan daripada penonton,” katanya.

Eja turut mengakui selepas berhijab dia menggunakan bidang lakonan sebagai saluran mendidik dan berdakwah kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, saya masih mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah menjayakan drama serta filem lakonan mereka sampai sekarang.

“Saya juga memilih terbabit dalam drama projek khas termasuk Maal Hijrah, Aidilfitri dan Hari Ibu.

“Terbaru, saya menjayakan dua telefilem untuk Ramadan dan Aidilfiitri iaitu Kasih Ramadan dan Gerobok Raya,” katanya.

Kongsi Eja lagi, dia masih dalam proses mendalami ilmu agama untuk menjadi Muslimah yang lebih baik.

“Berhijab saja tidak cukup kerana ia perlu membabitkan aspek dalaman kita.

“Sebab itu saya menghadiri kelas agama dan belajar mengaji al-Quran,” katanya.

Pada masa sama, Eja turut menafikan dirinya suka menunjuk-nunjuk apabila sering memuat naik gambar majlis ilmu agama yang dihadiri di laman Instagram.

“Bagi saya tidak salah memuat naik gambar majlis ilmu kerana ia perkara yang baik,” katanya.

Eja turut menjelaskan dia banyak menerima undangan menyampaikan ceramah dan berkongsi pengalaman berhijrah sebelum ini.

“Ketika mula berhijrah saya diundang ke merata tempat untuk berkongsi pengalaman.

“Namun kini saya hanya akan terima sekiranya topik yang bakal dibicarakan itu sesuai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 10:18 AM