SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini meminta umat Islam supaya tidak tergesa-gesa mengkritik fatwa yang telah dikeluarkan tanpa memahami perkara itu dengan sepenuhnya.

Baginda bertitah umat Islam perlu bersatu dan berpadu fikiran untuk memahami segala ajaran Islam dan ia perlu mengatasi ideologi dan kepentingan politik.

“Beta menyatakan demikian supaya tidak mahu wujud sebarang pertelagahan dan perbalahan sesama umat Islam dalam pelaksanaan urusan agama sehingga maruah agama Islam jatuh, mudah dipersenda dan dipertikai pihak yang tidak bertanggungjawab,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Kanun Jenayah Syariah di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Baru-baru ini, Sisters In Islam (SIS) dilaporkan mahu memohon semakan kehakiman mengenai fatwa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang mengisytiharkan pertubuhan itu membawa fahaman sesat iaitu liberalisme dan pluralisme. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 2:55 PM