Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman gembira dengan pencapaian terbaiknya sepanjang karier apabila menduduki tempat ke-11 di Grand Prix Prix Indianapolis semalam.

Menurut pelumba Idemitsu Honda itu, dia sudah memberikan tunggangan terbaik untuk mengekori kelompok depan tetapi sangat sukar kerana keadaan litar yang mencabar.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana dapat menduduki tempat ke-11 kerana ia adalah keputusan terbaik sepanjang menyertai perlumbaan Moto2,” katanya yang berjaya meraih lima mata.

Jelasnya, dia kini bermotivasi tinggi dan meletakkan sasaran memperoleh keputusan lebih cemerlang menjelang perlumbaan seterusnya.

“Terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras sepanjang hujung minggu ini (hujung minggu lalu),” katanya yang memulakan perlumbaan dari barisan keempat semalam.

Azlan berada di kedudukan lima terbaik selepas pusingan kelima, namun bekas juara Kejuaraan Motosikal Asia (FIM) SuperSports 600cc 2013 ini gagal bertahan di posisi berkenaan kerana masalah tayar yang digunakan.

Pelumba pasukan Paginas Amarillas HP40, Alex Rins muncul juara selepas mengenepikan Johan Zarco dari Ajo Motorsports di tempat kedua, manakala Franco Morbidelli (Italtrans Racing Kalex) ketiga.

Seorang lagi pelumba negara, Hafizh Syahrin (PETRONAS Raceline) juga berentap di kelompok depan dan pada suatu ketika mampu memimpin perlumbaan namun terbabit dalam kemalangan pada pusingan terakhir.

Sementara itu, Zulfahmi Khairuddin (Drive M7 SIC) menduduki tempat ke-25 kategori Moto3 walaupun bermula di petak ketiga akibat pertukaran tayar serta hujan dan keadaan litar yang tidak menentu.

Juara milik Livio Loi (RW Racing GP), kedua John McPhee (SAXOPRINT RTG) dan ketiga Philipp Oettl (Schedl GP Racing).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 8:24 AM