KUALA LUMPUR: Hutang kerajaan Malaysia tidak mengancam kedudukan ekonomi negara, malah pencapaian ekonomi negara turut dicemburui negara lain, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata hutang negara berada pada paras 53 peratus (daripada Keluaran Dalam Negara Kasar), iaitu jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara lain.

Beliau berkata kedudukan ini dilihat tidak mengancam kedudukan ekonomi negara, dan ia turut dipersetujui oleh negara luar.

“Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Belanda Mark Rutte semalam, beliau (Rutte) mengakui keadaan ekonomi Malaysia jauh lebih baik berbanding kedudukan ekonomi Belanda.

“Saya memetik kata-kata Rutte, “Saya mencemburui prestasi ekonomi anda,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Tan bertanyakan kaedah yang akan dilakukan oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah hutang negara, kenaikan kos perbelanjaan sektor awam dan kos sara hidup. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 12:10 PM