ANTARA pelajar yang menyertai ‘Exploration@ Gunung Rajah’.
ANTARA pelajar yang menyertai ‘Exploration@ Gunung Rajah’.

Nilai etika dan moral yang tinggi antara aspek terpenting dalam melahirkan graduan yang kompeten, holistik, berketrampilan serta dilengkapi kemahiran insaniah. Ia juga mampu meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan terbabit.

Sehubungan itu, baru-baru ini seramai 30 ahli Kelab Kembara, Management & Science University (MSU) dengan kerjasama jabatan Students & Career Development (SCD), MSU menimba pengalaman menerusi aktiviti berbentuk alam sekitar. Program selama dua hari satu malam ini dikenali sebagai ‘Exploration@ Gunung Rajah’.

Matlamat utama program ini ialah untuk mendedahkan ahli Kelab Kembara berkenaan ilmu asas pendakian serta menjadi wadah dalam melahirkan generasi muda yang mencintai khazanah alam sekitar.

Gunung Rajah terletak di Bentong, Pahang dengan ketinggian 1,685 meter (5,526 kaki) di Hutan Lipur Air Terjun Chamang serta lokasi strategik bagi pendaki kerana kedudukannya tidak jauh dari ibu kota. Ia juga digelar ‘Complete Route’ dan lokasi latihan bagi pendakian ke Gunung Tahan dan Gunung Kinabalu.

Gunung Rajah juga mempunyai kepelbagaian hidupan atau biodiversiti serta menjadi habitat kepada pelbagai flora yang mempunyai nilai perubatan. Secara amnya, Gunung Rajah merangkumi hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane, dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:00 AM