Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lelaki warga Bangladesh maut dilanggar jengkaut ketika bekerja di tapak pembinaan stesen LRT Bukit Oug, Bukit Jalil, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 pagi itu, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menggali longkang dan berada berhampiran sebuah jengkaut dipandu rakan sekerjanya.

"Secara tiba-tiba pemandu jengkaut itu terlanggar mangsa menyebabkan dia maut akibat tersepit dan ketika itu tiada pekerja lain berhampiran lokasi.

"Pemandu jengkaut itu kemudiannya meminta bantuan pekerja lain dan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa akibat parah di kepala dan badan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 9:54 PM