KEHADIRAN bekas bintang Barcelona mungkin bawa tuah kepada Stoke.
KEHADIRAN bekas bintang Barcelona mungkin bawa tuah kepada Stoke.

Wajah keanak-anakan Ibrahim Afellay, (gambar) kini berusia 29 tahun, tidak dapat menyembunyikan kenangan era kegemilangannya di pentas Eropah sedekad lalu.

Biarpun wajahnya tidak dimakan usia, Afellay menjadi nadi skuad PSV Eindhoven yang mendominasi bola sepak Belanda dan turut mendapat perhatian dalam Liga Juara-Juara.

Dia mendapat pengiktirafan negaranya sejak 2007 apabila pengurus Marco Van Basten membawanya menyertai Belanda iaitu negara kelahirannya, bukannya Maghribi, negara kelahiran ibu bapanya.

Dia sentiasa menjadi pilihan setiap ‘pengurus’ dalam Championship Manager, ketika itu, Dia belajar daripada Phillip Cocu bagaimana untuk menguasai bahagian tengah padang.

Musim ini dia bertekad mahu mengembalikan prestasi itu yang menjadikannya perhatian di Stoke City, yang setakat ini berjaya mendapatkan seorang lagi pemain dengan kos yang rendah.

Mark Hughes sedang mempersiapkan skuadnya dengan pemain ‘teknikal’ bagi meneruskan evolusi corak permainan yang dimulakannya sejak dua tahun lalu.

Afellay adalah bekas pemain Barcelona keempat dibeli City selepas pertahanan, Marc Muniesa, penyerang Bojan Krkic yang mencipta kejayaan sebelum kecederaan menjejaskan kempen musim lalu. Pemain sayap, Moha El Ouriachi tiba awal musim panas ini.

Afellay mungkin mampu memberi sesuatu yang berbeza sekali lagi, memandangkan dia mampu menggelecek dan menghantar bola dengan baik biarpun ramai yang menganggap kualiti terbaiknya adalah pada awal kariernya.

Ia mungkin disebabkan kepercayaan bahawa Stoke mampu mendapatkan pemain yang ketika menyertai Barca pada Januari 2011, mempunyai klausa pelepasan £85 juta (RM513.1 juta) di dalam kontraknya.

Kecederaan berulang serta kegagalan memecah dominasi pemain terbaik dunia dalam jentera serangan Barca membuatkan harga yang diletakkan terhadap dirinya agak berlebihan tetapi Afellay turut memberi sumbangan sepanjang berada di Nou Camp.

Dia beraksi dalam 23 perlawanan bersama Pep Guardiola pada separuh musim pertama dan diturunkan berbaki 20 minit perlawanan ketika perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Bernabeu.

Dia merancang gol Lionel Messi, berjaya melepasi Marcelo dan membuat hantaran ke arah pemain Argentina yang berjaya menyudahkan jaringan.

Barca menang 2-0 dan kemudiannya menewaskan Manchester United 3-1 pada aksi final di Wembley. Afellay turut dikalungkan pingat apabila Guardiola turut memberi ruang kepadanya beraksi pada minit-minit terakhir.

Afellay menyarung bendera Maghribi ketika meraikan kejayaan, menghormati susur galurnya dari Afrika Utara. Dia pemain pertama kelahiran Maghribi bermain untuk Barcelona.

Namun kecederaan menghalang kariernya ber­kem­bang lebih jauh dan hanya membuat beberapa penampilan dengan jersi hebat itu.

Pada musim 2013-14, dia dipinjamkan ke Schalke dan menjaringkan tiga gol pada bulan terawal, termasuk ke atas Arsenal dalam Liga Juara-Juara. Namun kecederaan pangkal paha mengakhiri kempennya pada November.

Pada musim berikutnya, dia berjaya memulihkan kecergasan dan kemudiannya dipinjamkan ke Olympiacos di mana dia beraksi dalam 27 perlawanan, menjaringkan enam gol.

Dia turut beraksi dalam Liga Juara-Juara, malah turut menjaringkan gol ke atas Atletico Madrid pada perlawanan peringkat kumpulan.

Dia dipanggil menyertai skuad kebangsaan Belanda, mendapatkan cap ke-50 sebagai pemain gantian sewaktu menentang Sepanyol, selain turut mara ke final Piala Dunia 2010. Namun mereka kalah kepada Sepanyol.

Kekerapan beraksi dalam Liga Perdana Inggeris akan memberi harapan cerah buat masa depannya di Oranje, biarpun ia mungkin kali pertama dia terlepas peluang beraksi dalam perlawanan peringkat Eropah.

Di sebalik wajahnya, dia bukan lagi seorang remaja namun Stoke tetap berharap dia mampu melakukannya sekali lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 10:17 AM