Kuala Lumpur: Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 1.9 peratus kepada RM120.54 bilion pada Jun 2015 berbanding RM118.35 bilion pada bulan sama tahun lalu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia berkata, daripada keseluruhan perdagangan, eksport meningkat lima peratus kepada RM64.26 bilion manakala import merosot 1.5 peratus kepada RM56.28 bilion, menghasilkan lebihan RM7.98 bilion.

Katanya, perdagangan pada Jun 2015 naik 4.5 peratus daripada RM115.40 bilion pada Mei dan pada bulan berkenaan, eksport lebih tinggi dicatat ke China (+RM1.6 bilion), Taiwan (+RM435.1 juta), Amerika Syarikat (+RM393.6 juta), Hong Kong (+RM288.2 juta) dan Indonesia (+RM219.4 juta).

Pada asas gabungan enam bulan, jumlah perdagangan merosot 2.9 peratus kepada RM694.98 bilion, di mana eksport menurun 3.1 peratus kepada RM368.33 bilion manakala import susut 2.6 peratus kepada RM326.64 bilion.

MITI berkata, prestasi eksport Malaysia menguncup pada separuh pertama 2015, seiring dengan permintaan lemah global serta kejatuhan harga komoditi.

“Trend ini seiring dengan prestasi perdagangan negara serantau. Perdagangan dengan negara rakan kongsi perjanjian perdagangan bebas meningkat 63 peratus kepada RM437.56 bilion, dengan eksport bernilai RM232.1 bilion manakala import RM205.46 bilion.

“Perdagangan dengan ASEAN jatuh 2.3 peratus kepada RM189.48 bilion dengan eksport bernilai RM103.84 bilion dan import RM85.64 bilion, yang juga 27.3 peratus daripada keseluruhan perdagangan,” katanya.

MITI berkata, peningkatan eksport ke ASEAN dicatat bagi produk elektrik dan elektronik, petroleum mentah, kimia dan produk kimia serta jentera, perkakasan dan peralatan.
-BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 6:24 AM