PEKERJA ladang menyusun plastik yang berisi campuran tanah dan sabut kelapa bagi penyediaan tanaman cili secara fertigasi.
PEKERJA ladang menyusun plastik yang berisi campuran tanah dan sabut kelapa bagi penyediaan tanaman cili secara fertigasi.
TOK batin mendengar penerangan daripada Saravanan .
TOK batin mendengar penerangan daripada Saravanan .
Oleh Asrizal Aris

Golongan belia Orang Asli digalak menceburi bidang pertanian sebagai pekerjaan yang memberi sumber pendapatan lumayan, sekali gus meningkatkan ekonomi masyarakat berkenaan.

Ini kerana masyarakat Orang Asli kini sudah mula menerima perubahan dan tidak lagi ‘memencilkan’ diri bersama kaum kerabat mereka saja.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan berkata, masyarakat Orang Asli perlu memajukan ekonomi mereka supaya tidak tercicir dalam arus pembangunan negara.

Beliau berkata, golongan berkenaan perlu menceburi sektor pertanian moden yang diperkenalkan kerajaan termasuk fertigasi cili.

“Selain meningkatkan pendapatan masyarakat tempatan, penyertaan belia Orang Asli dalam bidang pertanian ini mampu mengurangkan persaingan pekerja asing yang semakin bertambah di dalam negara ketika ini.

“Bagi golongan belia yang berminat, saya mengalu-alukan untuk melawat tapak projek perintis fertigasi cili di sini untuk melihat sendiri bagaimana sektor pertanian itu boleh memperoleh hasil lumayan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat kepada 51 Tok Batin di Tapah berkenaan tanaman fertigasi cili, di Pusat Agro, Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM), di Sungkai, Perak, baru-baru ini.

Saravanan berkata, ada pihak masih berpandangan bidang pertanian bagi golongan miskin dan tradisional, sedangkan ia sebaliknya.

“Ini kerana pembangunan teknologi moden turut menjadikan sektor pertanian sebagai enjin penjana ekonomi negara.

“NAAM bakal memberikan dorongan dan bantuan kepada golongan belia menjadi usahawan berjaya dalam sektor pertanian.

“NAAM kini sudah menjalankan projek perintis penanaman cili seluas kira-kira tujuh hektar di empat kawasan di Perak,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Lata Kinjang, Saha Husin, 56,berjanji untuk memastikan tapak sedia ada dijadikan kawasan pertanian.

“Saya juga menyeru kepada belia kampung untuk mengusahakan pertanian di atas tapak berkenaan.

“Bagi saya minat itu sudah nampak dan berusaha meningkatkan potensi belia Orang Asli dengan mengajak mereka mengusahakan tanaman cili ini kerana ia amat menguntungkan.

“Selama ini mereka kurang didedahkan dengan kebaikan pertanian, sebab itu mereka kurang berminat,” katanya.

Saha berkata, dia berharap selepas mendengar taklimat, melawat pusat tanaman dan melihat sendiri hasil tanaman cili di sini, belia di kampungnya lebih cenderung menceburi bidang ini.

Menurutnya, terdapat 257 masyarakat Orang Asli di kampungnya dan perbincangan berkenaan projek itu bakal dilakukan selain memperindahkan lagi suasana air terjun Lata Kijang dengan pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 10:34 AM