Musim perayaan dan cuti sekolah sering dinanti-nantikan produser tanah air untuk menghantar permohonan mendapatkan tarikh tayangan filem mereka kerana disifatkan sebagai durian runtuh dengan kutipan lumayan berbanding minggu biasa.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini kutipan filem Melayu tidak mengira musim dan minggu lagi kerana rata-rata sangat rendah, kebanyakannya bawah RM100,000.

Dua filem ditayangkan serentak pada Aidilfitri baru-baru ini, Suamiku Jatuh Dari Langit dan Gangster Rock turut mengalami nasib sama.

Nyata peminat Nora Danish mencecah dua juta orang, tidak mampu memanggil mereka ke panggung menyaksikan lakonannya bersama Qi Razali dalam filem arahan Eyra Rahman ini.

Begitu juga mat rempit, tidak pula berduyun-duyun ke panggung untuk menyaksikan sentuhan pertama pelakon Soffi Jikan.

Kutipan rendah ini juga disifatkan paling buruk dalam sejarah musim perayaan. Di mana silapnya? Kurang promosi daripada media hing­ga masyarakat tidak tahu filem itu ditayangkan? Kegawatan ekonomi ditambah pula kenaikan harga tiket dengan adanya GST dilihat turut membantu mengurangkan minat penonton ke panggung.

Faktor utama sudah tentulah produk itu sendiri. Kalau kita buat perbandingan bisnes filem dengan bisnes makanan, kedua-duanya sama untuk santapan. Satu untuk perut dan satu lagi santapan jiwa.

Banyak restoran gulung tikar dan hanya yang benar-benar diyakini keenakan masakannya akan terus bertahan. Keadaan sama turut dialami filem Melayu.

Senario ini tentunya merisaukan produser tetapi dalam hal ini, kebanyakan pembikin filem tidaklah terlalu ‘sengsara’ menanggung kerugian kerana kos menghasilkan filem turut dibantu kerajaan.

Jika ceritanya menarik dan menghiburkan, mungkin penonton masih berminat mengeluarkan duit untuk membeli tiket tapi kalau tidak berkualiti, ada yang hanya memilih untuk menunggu tayangan di Astro First sebagaimana dua filem ini boleh ditonton kini di Astro First selepas dua minggu.

Dengan bayaran RM10 boleh ditonton seisi keluarga selepas dua minggu ditayangkan di pawagam dan kalau hendak tunggu yang percuma, paling tidak Aidilfitri tahun depan bakal disiarkan di televisyen.

Adakah kini hanya mereka yang sekadar suka-suka dan menghabiskan masa yang keluar menonton wayang dan masih terus setia menonton filem Melayu?

Kesilapannya bukan pada penonton dan peminat filem Melayu atau media yang kurang memberi ruang promosi tetapi pembikin filem itu sendiri.

Kalau makanan disajikan itu enak dan memuaskan hati, tiada alasan untuk penonton tidak berminat ke panggung.

Tapi kalau apa yang dipersembahkan itu tidak memuaskan hati, siapa yang mahu membazirkan wang membeli tiket?

Masalah ini bermula apabila sejak kebelakangan ini ada yang menghasilkan filem asal siap kemudian ditayang­kan di pawagam. Ada yang menceburkan diri dalam industri filem tanpa pengalaman dan mungkin sekadar suka-suka untuk mencuba bisnes baru.

Mereka tidak perlu bersusah payah kumpul modal kerana kerajaan ada memberi bantuan. Masalahnya, mereka dapat bantuan modal lebih RM1 juta tetapi menghasilkan filem mengikut standard untuk tayangan televisyen. Maka taraf filem Melayu sekadar di TV saja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:03 AM