BOB akui dia kini dalam tempoh mengenali dengan lebih rapat.
BOB akui dia kini dalam tempoh mengenali dengan lebih rapat.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Sekeping gambar penyanyi Bob mencuba baju pengantin mencetuskan tanda tanya peminatnya. Adakah penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi Akademi Fantasia musim kedua (AF2) ini akan mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat?

Bob atau Yusrizan Usop sewaktu ditemui pada maj­lis rumah terbuka anjuran syarikat rakaman Indigital Sdn Bhd baru-baru ini, tidak menafikan mahupun mengiakan perkara itu.

Bagaimanapun, pe­nyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Cinta Terhalang itu mengakui hatinya sudah dimiliki tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut gadis yang berjaya mencuri hatinya.

“Saya takut hendak bercerita panjang kerana kami baru lagi berhubungan. Sekarang ini saya dan dia masih dalam tempoh cuba mengenali dengan lebih rapat.

Insya-Allah soal mendirikan rumah tangga saya harap semua akan mendoakannya agar ia menjadi kenyataan,” katanya.

Cerita mengenai Bob mahu bernikah timbul selepas pengusaha butik pengantin terkenal di utara tanah air juga popular dengan nama Abang Gee, memuat naik sekeping gambar penyanyi berasal dari Limbang, Sarawak itu mencuba dan menggayakan baju pengantin.

Keterangan gambar yang dimuat naik Abang Gee ditujukan kepada beberapa teman media supaya bertanya kepada Bob mengapa mengenakan pakaian pengantin. Adakah penyanyi itu mahu bernikah dalam waktu terdekat dan benarkah gadis pilihan hatinya itu berasal dari Kedah?

Bercerita lanjut mengenai perkara itu, Bob berkata gadis yang berjaya memenangi hatinya itu bukan orang Kedah dan tidak bermakna dia mencuba pakaian pengantin di kedai Abang Gee bermakna pemilik butik pengantin popular di utara tanah air itu akan menjadi perancang perkahwinannya.

“Saya memang baik dengan Abang Gee. Selain dikenali sebagai pengusaha butik pengantin di Kedah, dia juga boleh dianggap selebriti laman sosial disebabkan rakaman celotehnya dan kata-kata nasihat yang bagus sering dimuat naik di laman sosial menjadikan ratusan ribu orang me­ngikutinya termasuk saya.

“Kebetulan pada hari memakai pakaian pengantin itu, saya memenuhi undangan mengadakan persembahan di utara tanah air. Selalunya saya berhubung dengan Abang Gee menerusi laman sosial tetapi apabila sudah mempunyai kesempatan, saya pergi bertemunya di butik,” katanya.

Apabila sampai, kata Bob, Abang Gee tahu kisah hubu­ngannya dengan seorang wanita dan diminta untuk mencuba pakaian yang ada bagi mencari ilham.

“Saya senang dengan pakaian pengantin yang ada di butik itu dan tidak keberatan untuk mencuba berikutan ia boleh memberikan saya idea bagaimana hendak merealisasikan perkahwinan impian sekiranya jodoh kami ada,” katanya.

Akui Bob, apabila usianya mencecah 34, dia sudah mula terfikir untuk membina hidup berkeluarga dan baginya tempoh sekarang paling sesuai. Bagaimanapun sebagai orang Islam dia harus berpegang kepada qada dan qadar dan jodoh yang sudah ditetapkan.

Bob sekarang dilihat lebih aktif sebagai guru vokal berbanding penghibur. Malah sewaktu pertandingan Mentor Lagend disiarkan TV3, Bob bertindak sebagai guru vokal kepada juara rancangan itu, Azmil.

Adakah Bob mahu memberi tumpuan kepada kerjaya barunya itu dan mahu melupakan bidang nyanyian? Menjelaskan perkara itu, kata Bob dia tidak pernah melupakan kerjaya nyanyian malah terus aktif sehingga kini.

“Mengajar vokal itu saya laksanakan sekiranya mempunyai masa terluang dan kelas yang saya berikan bukanlah seperti pembelajaran di sekolah. Sebaliknya ia berupa sesi latihan yang diperlukan oleh penyanyi atau pendatang baru industri muzik.

“Sesi tidak panjang dan saya sendiri tidak terikat sepenuhnya sebagai guru atau pelatih vokal. Ia dilakukan apabila saya mempunyai kelapangan dan tidak pernah berfikir secara serius untuk menjadi cikgu vokal sehingga mahu membuka sekolah khas. Saya masih mahu menyanyi dan menghiburkan peminat,” katanya.

Bob turut akui tanggapan dia mahu meninggalkan bidang nyanyian dan mahu menjadi guru vokal disebabkan sudah hampir empat tahun dia tidak memiliki lagu baru.

Tapi katanya, penantian peminat bakal berakhir apabila dia sudah menyiapkan single terbaru, Jangan Ja­ngan yang dicipta Omar K dan Audi Mok.

“Iramanya sangat berbeza berbanding apa yang pernah saya bawakan sebelum ini. Satu kelainan dan rentaknya lebih rancak.

“Selain single itu, saya merancang untuk menghasilkan lagu berentak irama tradisi. Saya juga sedar pelaburan ini mempunyai risiko tinggi kerana tidak ramai anak muda mahu menerima lagu tradisional tetapi saya tetap akan melaksanakannya sebagai usaha untuk memperbanyakkan khazanah muzik tradisi tempatan.

“Ia juga sebagai memuaskan kehendak hati saya yang memang mempunyai dan berkebolehan menyanyikan lagu berirama tradisional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:03 AM