Kuala Lumpur: Pemain industri tempatan digesa memanfaat dan menyepadukan teknologi nano dalam pemprosesan serta produk masing-masing bagi membawa pasaran tempatan ke tahap lebih baik.

Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Dr Zulkifli Mohamed Hashim berkata, pada ketika ini kesedaran dan pengetahuan pemain industri mengenai kelebihan teknologi itu dilihat rendah, sekali gus membuatkan ramai pihak tidak berani menerokai serta melabur dalam pengeluaran nano elektronik.

“Untuk memanfaatkan teknologi ini, ia memerlukan pendekatan pelbagai disiplin yang menggabungkan penyelidikan dalam bahan reka bentuk, pemprosesan, pemodelan, pencirian dan metrologi,” katanya pada ucaptama pelancaran siri Seminar JumpStart NanoMalaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pemain industri digalakkan mendapatkan pensijilan NanoMalaysia Berhad (NanoMalaysia) di bawah Program Pengesahan Nano bagi pengeluaran produk dan pemprosesan.

“Saya berharap panduan NanoMalaysia akan membantu pemain industri bagi memaksimumkan peluang yang ada bagi meningkatkan keupayaan pengetahuan teknologi,” katanya.

Dalam majlis sama, empat perjanjian persefahaman ditandatangani membabitkan satu pemain industri, dua agensi kerajaan dan dua universiti dalam usaha yang dijangka mampu melonjakkan sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Empat perjanjian itu membabitkan NanoMalaysia Berhad (NMB) dan Mimos Berhad (Mimos); NMB, Mimos dan Penchem Technologies Berhad; Mimos dan Universiti Malaya (UM) serta Mimos dan Universiti Multimedia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 6:40 AM