ZABARULLAH menceduk kari kepala ikan merah untuk dihidangkan kepada pelanggan.
ZABARULLAH menceduk kari kepala ikan merah untuk dihidangkan kepada pelanggan.
PENGUNJUNG sanggup beratur semata-mata mahu menikmati hidangan kari kepala ikan.
PENGUNJUNG sanggup beratur semata-mata mahu menikmati hidangan kari kepala ikan.
KARI kepala ikan di Restoran ZK turut dihidangkan bersama tauhu.
KARI kepala ikan di Restoran ZK turut dihidangkan bersama tauhu.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman


Kari kepala ikan cukup terkenal dalam kalangan penduduk berbilang kaum di negara ini dan makanan istimewa itu mudah ditemui di merata-rata tempat khususnya di restoran nasi kandar.

Namun, kari kepala ikan Kampung Attap mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu menambat selera pengunjung untuk datang kembali selepas menikmatinya untuk kali pertama.

Menurut pemiliknya, Zabarullah, Restoran ZK beroperasi sejak tahun 1990-an, bermula dengan gerai di lorong belakang kedai.

Sejak 25 tahun kewujudan restoran itu, dia masih mengekalkan ramuan yang sama dalam setiap masakannya.

Katanya, hasil tujuh rempah ratus yang diadun sendiri, ia menghasilkan satu hidangan kari kepala ikan yang menyelerakan dan penuh aroma, malah dengan tambahan tauhu sebagai penambah cita rasa, ia nyata memikat selera pelanggan.

“Resipi dan teknik yang ditampilkan sama seperti cara memasak kari kepala ikan lain, tetapi yang membezakannya kerana saya mempunyai sukatan rahsia bagi setiap rempah ratus.

“Justeru, kesempurnaan rasa masam, manis dan pedas dalam kari ini sentiasa menjadi kegilaan pelanggan terutama peminat kari kepala ikan di sekitar Lembah Klang.

“Pelanggan boleh memilih sama ada untuk menikmati kari kepala ikan jenahak, ikan merah atau senangin mengikut saiz yang diingini,” katanya.

Kebiasaannya, pekerja akan masak kari seawal jam 9 pagi dan ia memakan masa kira-kira dua jam untuk siap sepenuhnya.

Menu lain yang popular di Restoran ZK ialah ayam madu, sotong sambal, sayur dan acar bawang.

Menurutnya, harga hidangan kepala ikan dan sotong bergantung kepada saiz, bermula daripada serendah RM30 hingga RM150 serta RM8 hingga RM30.

“Selain itu, acar bawang yang ditonjolkan melalui bawang, cili, kicap dan perahan asam limau turut menjadi simbol restoran kami memandangkan ia hanya boleh didapatkan di sini,” katanya.

Restoran terbabit menyediakan dua ruang makan berbeza. Bagi pengunjung yang gemar menikmati angin luar, mereka boleh memilih menjamu selera di tempat berbumbung bersebelahan kedai atau tempat berhawa dingin di tingkat atas.

Restoran ZK yang terletak di Jalan Kampung Attap itu dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 4.30 petang dan turut menyediakan khidmat katering.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 11:17 AM