Mangsa tersepit di bawah lori dan disahkan meninggal dunia di hospital. FOTO ihsan bomba
Mangsa tersepit di bawah lori dan disahkan meninggal dunia di hospital. FOTO ihsan bomba
Oleh Abd Rahman Adam

Bintulu: Lelaki warga Indonesia maut selepas lori dipandunya hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam lebih enam meter dan menghempapnya dalam kejadian di Jalan Semerakan, Sungai Emas, di sini, 2 petang tadi.

Mangsa, Mohamad Aslan Abdul Rapi , 22, meninggal dunia di Hospital Bintulu akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di-Hatta Gobil berkata, sebuah jentera bersama sepasukan anggota bomba ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.13 petang.

Katanya, usaha awal mengeluarkan mangsa gagal berikutan lori berkenaan menghempapnya.

“Sebuah kren dari syarikat kontraktor berhampiran digunakan untuk mengangkat lori itu dan membawa mangsa yang masih hidup ketika itu ke Hospital Bintulu.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di hospital ketika dirawat dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 10:01 PM