Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Masalah kecacingan adalah suatu penyakit biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Bagaimanapun, ibu bapa disarankan supaya tidak mengambil mudah dengan masalah kecacingan kerana kebanyakan kita mungkin beranggapan cacing hanya berada di dalam usus saja.

Sebenarnya, jangkitan cacing boleh berlaku di mana-mana bahagian badan seperti mata, hati, paru-paru dan salur darah. Jangkitan juga boleh berlaku melalui sentuhan pada kulit.

Sistem imun kanak-kanak yang tidak cukup kuat untuk melawan jangkitan cacing antara penyebab utama mereka mudah dijangkiti, tetapi jangkitan boleh berlaku pada golongan dewasa juga sekiranya kebersihan tidak diamalkan.

Jangkitan cacing juga boleh diperoleh daripada haiwan peliharaan anda seperti kucing atau anjing dengan hanya menyentuhnya (jangkitan melalui kulit).

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, cacing jarum atau cacing benang ialah sejenis cacing yang sangat halus berukuran kira-kira setengah inci panjang dan tinggal di dalam usus.

Cacing jarum betina keluar dari dubur pada waktu malam dan bertelur berhampiran dengan kulit dubur. Jangkitan cacing yang disebabkan oleh cacing jarum dikenali sebagai 'enterobiasis', satu penyakit yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Cara jangkitan

Jangkitan berlaku apabila kanak-kanak menelan telur cacing jarum. Seorang kanak-kanak mendapat telur cacing jarum melalui sentuhan dengan kanak-kanak yang dijangkiti atau melalui pakaian tidur, cadar atau persekitaran kediaman kanak-kanak lain yang dijangkiti.

Apabila dijangkiti, kanak-kanak menggaru di kawasan dubur kerana gatal.

Telur cacing jarum melekat di celah kuku. Apabila kanak-kanak makan tanpa mencuci tangan dengan sempurna, telur terbabit akan masuk melalui mulut dan menjadi cacing dewasa dan tinggal di dalam usus.

Kebanyakan kanak-kanak tidak mendapat sebarang tanda dan gejala, namun ada juga kanak-kanak yang mengalami kegatalan di sekeliling dubur dan faraj. Komplikasi yang biasa berlaku adalah tempat yang digaru itu mungkin terdedah kepada jangkitan bakteria.

Ibu bapa boleh mengetahui bahawa anak mereka dijangkiti cacing jarum apabila terdapat cacing di dalam najis anak.

Telur cacing jarum dapat dilihat melalui pemeriksaan di bawah mikroskop dengan cara melekatkan pita pelekat pada kawasan dubur anak dan menanggalkannya semula. Telur cacing jarum melekat pada pita terbabit.

Kaedah rawatan

- Satu dos ubat Albendazole atau Mebendazole diberikan dan diulang selepas dua minggu.

- Rawatan ini perlu diberikan untuk semua ahli keluarga.

- Sapukan jeli petroleum di kawasan yang gatal untuk menghilangkan kegatalan (di sekeliling kawasan dubur atau faraj).

- Cadar dan pakaian yang digunakan perlu direbus dan dibasuh dengan air panas dan bahan pencuci untuk menghapuskan telur cacing jarum.

- Penyakit ini sebenarnya boleh dicegah dengan mengamalkan kebersihan menyeluruh. Selain itu, anak perlu mandi dengan kerap selain menggunakan cadar, pakaian dalam dan pakaian tidur yang bersih.

- Basuh tangan dengan sempurna selepas ke tandas dan sebelum menyediakan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 9:36 AM