ANTARA adegan dalam MCDC.
ANTARA adegan dalam MCDC.
ANTARA adegan dalam MCDC.
ANTARA adegan dalam MCDC.
Oleh Norhadiani Baharom

Keindahan bandar raya Istanbul yang menggamit rasa sewaktu pembikinan filem Istanbul Aku Datang tiga tahun lalu, menggesa pengarah Bernard Chauly untuk kembali ke Turki.

Sekali gus merencanakan penggambaran filem terbarunya dan kali ini berlatarkan suasana indah Cappadocia sesuai judulnya, Manisnya Cinta di Cappadocia (MCDC).

Dibintangi pelakon kegemarannya, Fazura Sharifuddin dan aktor versatil, Shaheizy Sam, filem adaptasi novel itu turut dibintangi aktres yang baru saja memenangi Anugerah Pelakon Filem Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-26, baru-baru ini, siapa lagi kalau bukan Lisa Surihani.

Bercerita mengenai pembikinan filem yang bakal menjengah panggung pada 11 Disember depan, pelbagai cabaran terpaksa dihadapinya bagi mendapatkan visual serta sinematografi terbaik bagi filem ini.

"Empat bulan sebelum penggambaran saya mencabar diri untuk merantau sendirian tanpa bantuan pemandu pelancong. Saya memandu lebih 2,500 kilometer dalam masa seminggu dari Cappadocia ke Anatolia sehingga ke Pamukkale berakhir di EFes dan Izmir berdekatan lautan Aegean.

"Pelbagai rintangan seperti ribut pasir, sesat dan tayar pancit saya tempuhi bagi menghasilkan filem ini. Pengembaraan solo menjadi inspirasi bagi menghasilkan filem romantik ini.

"Turki negara yang sungguh romantik, dengan sokongan Turkish Tourism kami berjaya menerokai daerah Cappadocia yang terkenal dengan belon panas, penginapan istimewa dalam gua bersejarah terutama di Bandar Uchisar dan Gerome.

"Selain itu, filem ini juga menggunakan lokasi di sekitar kawasan Anatolia dari tamadun Kesultanan Seljuk. Contohnya Masjid Esrefoglu di Beysehir, Mevlana Sufi di Konya (makam Rumi), Caravanserai di Sultanhani. Lokasi bersejarah Islamik menjadi latar filem ini," katanya.

Memanjangkan perbualannya, filem yang menggandingkan tiga pelakon hebat juga pernah menerima anugerah di Festival Filem Malaysia itu adalah sebuah filem adaptasi novel Anis Ayuni yang bertajuk Manisnya Cinta.

Menerusi naskhah asal, babak romantik berlaku di Kaherah, Mesir tetapi selepas kejayaan Istanbul Aku Datang, lokasi filem Manisnya Cinta di Cappadocia bertukar ke Cappadocia dan Anatolia di Turki.

Dalam menghasilkan sesebuah filem adaptasi tidak dinafikan memberi cabaran besar kepada pengarah ini bagi mengekalkan keaslian jalan cerita.

Namun, dia sangat bertuah kerana penulis skrip Rafidah Abdullah berjaya melahirkan lakon layar yang menjadi sumber inspirasi kepada tugas pengarahannya.

"Rundingan bersama penulis asal Anis Ayuni, memang hasrat kami untuk mengekalkan watak utama dan jalan cerita. Watak seperti Ifti Liyana (Nur Fazura), Nazmi (Shaheizy Sam), Bakhtiar (Faizal Hussein), Fredo (Josiah Hogan), Izelea (Lisa Surihani), Kak Aida (Eja).

"Anis juga memberi buah fikiran dan berkongsi adegan yang paling disukai pembaca dan kami sedaya upaya merealisasikan hasratnya sekali gus menghormati haknya sebagai penulis novel itu,"katanya.

MCDC adalah filem terbitan bersama Astro Shaw, Redfilms dan Global Stations, mengisahkan kehidupan seorang gadis bernama Ifti Liyana (Fazura) yang tidak pernah mengharapkan kasih sayang daripada seorang lelaki, Fredo (Shaheizy Sam).

Bertahun bersama, namun tiada segelumit perasaan untuk jejaka itu dan akhirnya, Fredo menikahi gadis lain dan tinggallah Ifti Liyana menyusuri hidupnya sendiri.

"Saya amat teruja dan gembira kerana akhirnya dapat menyudahkan penggambaran filem ini dan tidak sabar menanti kemunculannya di pawagam. Menjadikan proses pembikinannya bertambah seronok kerana filem ini mengembalikan Fazura, aktres yang sering saya bekerjasama.

"Sebelum ini, Fazura tidak dapat terbabit dalam penggambaran Istanbul Aku Datang dan watak utama itu, Dian, digantikan oleh Lisa Surihani. Terus terang saya berbangga kerana memilih Lisa dan keputusan itu ternyata tepat apabila Lisa menang Pelakon Wanita Terbaik di FFM26 menerusi watak itu.

"Tambah bermakna lagi, filem MCDC ini turut dijayakan Lisa. Dua pelakon hebat menjadi gandingan kolaborasi bagi filem ini dan saya amat puas mendapat menggandingkan mereka berdua.

"Menyentuh lakonan Fazura sebagai Ifti Liyana, dia berjaya membawakan watak seorang yang berpendirian, cantik, kreatif, matang, beragama yang juga tertekan untuk mencari jodoh. Fazura dan Lisa, mereka seperti pasangan adik beradik yang semua impikan,"katanya.

Manakala Sam, Bernard menyifatkan persembahan lakonannya cukup bersinar, melahirkan emosi yang ikhlas dan jenakanya jujur sepanjang bergandingan bersama Fazura.

Bahkan barisan pelakon lain seperti Rafidah Abdullah (Dhivia), Faizal Hussein (Bakhtiar) memberi persembahan yang amat baik.

"Walaupun ramai mendakwa saya menggunakan Sam sebagai pelaris filem, satu hal yang tidak boleh dinafikan dia memang berbakat dan versatil. Harapan saya agar filem Manisnya Cinta di Cappadocia menjadi filem romantik terlaris bagi 2014.

"Filem ini mesti ditonton bukan saja kerana ia menampilkan tiga bintang popular dan berbakat besar, Fazura, Sam dan Lisa, malah MCDC menyaksikan lakon layar hebat tulisan Rafidah Abdullah, adaptasi novel Anis Ayuni," katanya.

Bintang yang turut memainkan peranan penting dalam menggerakkan filem ini, Josiah Hogam, Fauziah Ahmad Daud, penampilan khas Faizal Hussein dan Sharifah Eja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:01 AM