MANGSA diberi bantuan kecemasan awal oleh pasukan penyelamat. FOTO Bomba & JPAM
MANGSA diberi bantuan kecemasan awal oleh pasukan penyelamat. FOTO Bomba & JPAM
Oleh Abd Rahman Adam


Kuching: Seorang penuntut lelaki warga Indonesia sebuah universiti swasta di bandar ini terperangkap lebih lebih dua jam apabila terjatuh dalam gaung ketika dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Santubong di sini, semalam.

Kejadian jam 5.30 petang itu menyebabkan mangsa Mahendra Suhartono, 17 terseliuh kaki kanan akibat terjatuh dalam gaung lebih lima meter.

Difahamkan, kumpulan penuntut terbabit mula mendaki gunung berkenaan sejak awal pagi dan mulai turun kira-kira jam 4 petang.

Sumber berkata, rakan mangsa berjaya membantu mengeluarkan mangsa dari dalam gaung, namun kecederaan yang dialami penuntut itu menyebabkan dia tidak boleh berjalan dan menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, sepasukan anggota polis bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya operasi dibantu Jabatan Pertahanan Sawam Malaysia (JPAM) bergegas ke lokasi kejadian untuk gerakan mencari dan menyelamat.

"Kejadian itu mengakibatkan kaki kanan mangsa terseliuh dan terpaksa dipapah turun oleh pasukan penyelamat sebelum dibawa ke Hospital Umum Kuching (HUS) untuk rawatan.

“Mangsa mengakui pertama kali mengikuti ekpedisi mendaki Gunung Santubong sejak tiba di bandar ini untuk meneruskan pengajian dalam bidang perakaunan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius dan dilaporkan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di HUS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 4:25 PM