Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) menahan 15 pengemis warga asing di Masjid Muhammadi Jalan Sultanah Zainab dan Padang Merdeka, di sini, dalam operasi petang semalam.

Operasi kira-kira jam 12 tengah hari sehingga jam 2 petang itu, pengemis yang ditahan didapati mengganggu ketenteraman awam dengan cara meminta sedekah dari umat Islam termasuk di bazar Ramadan, masjid dan sekitar bank.

Setiausaha MPKB Rosnazli Mohd Amin berkata, operasi itu dijalankan kerana terdapat peningkatan pengemis warga asing di bulan Ramadan ini.

"Kita menahan mereka kerana mengganggu orang awam dengan cara meminta sedekah di sekitar bandar.

"Dalam operasi itu juga kita menahan 15 pengemis bersama 12 kampit beras dan lapan beg pakaian," katanya kesemua mereka dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk disoal siasat.

Operasi berkenaan membabitkan seramai enam anggota jawatankuasa MPKB dan enam pegawai JKM bersepadu melancarkan Ops itu untuk membanteras pengemis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 2:08 PM