Basyar Mustapha memahami situasi dihadapi generasi Y ketika beraya. Bukan saja kena menyediakan duit raya malah terpaksa pula menjawab pelbagai soalan peribadi yang agak sensitif ketika beraya.

Jika baru tamat persekolahan ada ibu saudara yang bertanya hendak buat apa selepas ini.

Apabila belajar di universiti pula ada sepupu lebih tua bertanya berapa CGPA kita capai dalam peperiksaan akhir. Jika sudah habis belajar ada bertanya bekerja di mana pula.

Bagi yang masih bujang sudah pasti soalan berkaitan perkahwinan cuba dielakkan kerana ia agak merimaskan untuk dijawab.

Begitu juga yang sudah berkahwin, soalan berkaitan zuriat sudah pasti ia sesuatu yang sensitif.

Jika diikutkan hati mahu saja mengelak dengan pelbagai soalan yang kadang-kadang menghilangkan mood berhari raya.

Namun, kita perlu sedar hari raya adalah masa terbaik untuk berkumpul dan saling menziarahi kenalan serta saudara-mara. Kita perlulah bersedia untuk menjawab soalan ini secara positif dan matang.

Gen Y cadangkan beberapa maklum balas yang boleh anak muda guna pakai untuk menjawab soalan merimaskan ini.

Soalan: Macam mana CGPA? Berapa ‘pointer’?

Soalan ini memang sensitif untuk pelajar yang masih menuntut di universiti atau kolej. Dalam hati kita berfikir mereka ini sibuk saja mahu tahu pencapaian pelajaran kita. Hendak membandingkan diri kita dengan siapa? Memang menjengkelkan, namun perlu dijawab dengan tenang. Jawab saja dengan mengucap syukur dan katakan anda yakin boleh lulus dengan cemerlang jika berusaha lebih lagi. Kalau boleh elak saja jawab berapa ‘pointer’ anda kerana tentu malu jika ia tidak dianggap bagus atau jika ia tinggi nanti dianggap anda berbangga diri pula.

Soalan: Buat apa sekarang? Kerja di mana?

Ini adalah soalan lazim tidak kiralah daripada kawan lama atau saudara-mara kita. Jawab saja secara jujur. Jika anda tidak rapat dengan yang bertanya, beritahu saja anda sudah bekerja. Jika mereka tanya kerja di mana, jawab saja nama kawasan kerja dan bukan nama syarikat. Sebab ramai yang suka menghakimi hidup kita dengan di syarikat kita bekerja. Selalunya jika kita jawab begini mereka akan sendiri faham kita tidak selesa memberitahu kita bekerja sebagai apa dan syarikat apa. Tetapi jika tidak kisah berkongsi, beritahu saja.

Soalan: Ada teman istimewa sekarang? Sudah jumpa jodoh?

Soalan peribadi ini memang soalan sensasi. Jika anda memang ada teman istimewa dan bangga hendak memberitahunya, jawab sajalah ‘ya’. Kalau kita malas hendak menjawab soalan berangkai mengenai teman istimewa kita nanti atau memang tidak ada sesiapa yang boleh dianggap cinta sejati, jawab saja ‘tidak ada’ atau ‘tidak ada jodoh lagi’. Rakan atau saudara-mara nanti akan terdiam, rasa simpati dan terus mengubah topik.

Soalan: Bila hendak kahwin?

Soalan yang agak memeningkan untuk dijawab terutama apabila memang kita belum bersedia untuk berkahwin. Kalau memang sudah tahu tarikh kita hendak kahwin lainlah ceritanya, mudah saja hendak dijawab. Jawab saja ‘belum sampai seru’ dan kalau hendak lebih sopan lagi katakan ‘nanti sudah sampai seru saya pasti jemput’. Pasti dia pun tersenyum mendengar dan jadikan kita anak buah kesayangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:11 AM