TOKSOPLASMOSIS mudah menjangkiti ibu hamil dan bayi dalam kandungannya.
TOKSOPLASMOSIS mudah menjangkiti ibu hamil dan bayi dalam kandungannya.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Ramai yang beranggapan penyakit toksoplasmosis atau lebih dikenali sebagai penyakit bawaan kucing hanya menjangkiti golongan pembela kucing saja, namun hakikatnya penyakit ini boleh menular kepada sesiapa saja.

Toksoplasmosis adalah penyakit yang disebabkan sejenis parasit di dalam sel yang dikenali sebagai toxoplasma gondii (T.gondii). Parasit ini pada asalnya hanya menjangkiti haiwan tetapi kemudian ia mampu menular kepada manusia.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Makmal Perubatan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA kampus Puncak Alam Dr Tunku Shahrul Anuar Tunku Ahmad Basri, kucing dan keluarganya (Felidae) berperanan sebagai perumah definitif manakala kebanyakan haiwan berdarah panas termasuk mamalia dan manusia adalah perumah perantara bagi per­kembangan parasit ini.

Menurutnya, T. gondii terdapat dalam tiga bentuk iaitu oosista (berisi sporozoit), takizoit dan sista tisu (berisi bradizoit).

“Sista tisu ini mampu berada dalam tubuh manusia seumur hidupnya dan boleh dijumpai terutama di bahagian otak, otot jantung, mata dan hati.

“T. gondii adalah satu daripada parasit yang menjangkiti hampir 25 peratus daripada populasi dunia. Berdasarkan pemeriksaan serologi yang dilakukan ke atas penduduk Malaysia yang sihat, sebanyak 30 hingga 40 peratus daripada mereka mempunyai antibodi yang positif terhadap parasit ini.

“Apabila seorang ibu hamil mendapat jangkitan T. gondii buat pertama kali, risiko untuk terjadinya toksoplasmosis kongenital pada bayi yang dikandungnya adalah tinggi,” katanya.

Dr Tunku Shahrul Anuar yang juga Ahli Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia berkata, seekor kucing yang dijangkiti T.gondii mampu untuk mengeluarkan jutaan oosista dalam najisnya.

“Oosista ini dapat bertahan selama satu tahun di dalam tanah yang lembap dan teduh.

“Manusia boleh dijangkiti parasit ini dengan pelbagai cara manakala bagi toksoplasmosis kongenital, penularan T.gondii kepada bayi melalui plasenta apabila ibunya dijangkiti buat pertama kali ketika hamil,” katanya.

Penularan boleh berlaku akibat:

1. Makan sayur-sayuran atau buah-buahan yang tercemar dengan oosista.

2. Mempunyai hubu­ngan langsung dengan najis kucing (yang mengandungi oosista) seperti menyentuh tangan dalam mulut selepas berkebun atau membersihkan najis kucing.

3. Makan daging mentah atau separuh masak yang mengandungi sista tisu.

4. Menggunakan perkakas atau papan pemotong yang belum dibersihkan selepas bersentuhan dengan daging mentah (yang mengandungi sista tisu).

5. Pemindahan organ atau darah daripada individu yang sudah dijangkiti dengan T. gondii (peringkat takizoit).

Menurut Dr Tunku Shahrul Anuar, kebanyakan mereka yang dijangkiti toksoplasmosis tidak menunjukkan gejala spesifik.

“Gejala klinikal yang sering dijumpai pada kebanyakan pesakit seperti demam, selesema, limfa membengkak, sakit

otot serta sendi berpanjangan.

“Tetapi gejala ini akan menjadi lebih kronik kepada penghidap HIV atau AIDS dan individu yang menjalani rawatan kemoterapi serta penerima pemindahan organ.

“Pada masa sama, kesan toksoplasmosis terhadap ibu hamil dan bayi dalam kandungan ternyata lebih serius,” ujarnya.

Menurutnya, T. gondii boleh menyebabkan keguguran spontan, kelahiran bayi pramatang atau kematian bayi di dalam kandungan.

“Selain itu, parasit ini juga boleh menyebabkan kelahiran bayi dalam keadaan abnormal atau disebut sebagai kelainan kongenital seperti hidrosefalus (kepala membesar), mikrosefalus (kepala mengecil), retardasi mental (gangguan kecerdasan), kelainan saraf mata (korioretinatis) dan kelainan sistemik seperti pembesaran hati dan limfa (hepatosplenomegali).

“Diagnosis toksoplasmosis pula dapat dilakukan dengan pemeriksaan serologi terhadap antibodi Toxoplasma (IgG dan IgM) menggunakan ‘enzyme-linked immunosorbent assay’ (ELISA).

“Ujian TORCH juga disarankan untuk dilakukan pada ibu hamil di trimester pertama kehamilan bagi mengetahui kemungkinan adanya jangkitan toksoplasma, rubela, cytomegalovirus, herpes dan HIV,” katanya.

Antara langkah pencegahan yang dapat diambil bagi mengurangkan risiko toksoplasmosis adalah seperti:

1. Membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan

2. Menggunakan sarung tangan ketika berkebun atau mencuci najis kucing

3. Membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak perlu dimasak

4. Mengelakkan pemakanan daging mentah atau separuh masak.

Menurut Dr Tunku Shahrul Anuar, bagi individu yang memelihara kucing perlu pastikan kucing kesayangan itu menjalani pemeriksaan berkala oleh doktor haiwan.

“Jangan beri kucing anda makan daging mentah terutama untuk kucing yang dipelihara di rumah. Apa yang lebih penting, elak memelihara kucing ketika hamil ­sekiranya langkah ini sukar dilakukan bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah kesihatan membabitkan bayi yang dikandung itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 5:00 AM