DIAN
DIAN

Jakarta: Aktres popular Indonesia, Dian Sastrowardoyo terpaksa membatalkan niatnya berlakon dalam filem 3 Srikandi ekoran penyebaran wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) di Korea Selatan.

Filem 3 Srikandi diinspirasi daripada kisah tiga atlet memanah Indonesia yang berjaya memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik 1988 di Korea Selatan.

Penggambaran filem yang dijadual ditayangkan pada akhir tahun ini dijadual berlangsung di Seoul.

Bagaimanapun, penerbit filem Multivision Plus terpaksa menunda jadual penggambaran kerana penyebaran wabak MERS di Korea Selatan.

“Kami terpaksa membuat jadual baru, tetapi Dian tidak dapat mengikuti jadual itu kerana dia sudah menandatangani kontrak dengan filem lain,” kata pengurus promosi Multivision Plus Vera.

Katanya, syarikat itu menggantikan Dian dengan aktres popular, Bunga Citra Lestari.

Dalam filem itu, Bunga bakal bergandingan dengan aktres Tara Baso dan Chelsea Islan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 10:25 AM