New York: Malaysia akan membuat permohonan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menubuhkan tribunal antarabangsa yang disokong PBB bagi mendakwa mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat penerbangan MH17 di Ukraine.

Menurut euronews.com, Presiden Majlis Keselamatan PBB untuk Julai, Gerard van Bohemen, mengesahkan hasrat Malaysia itu semalam.

Pesawat Penerbangan Malaysia itu ditembak jatuh Julai tahun lalu, bersama 298 penumpang dengan dua pertiga daripadanya rakyat Belanda.

Penubuhan tribunal itu adalah usaha kerajaan Malaysia, Australia, Belanda, Belgium dan Ukraine.

Sementara itu AP melaporkan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, berkata di Amsterdam, kerajaannya menyokong penubuhan tribunal antarabangsa itu kerana percaya ia langkah terbaik membawa mereka yang bertanggungjawab ke pengadilan.

Difahamkan, Duta Malaysia ke PBB, Ramlan Ibrahim, memberi majlis keselamatan bahawa resolusi sedang disediakan oleh lima negara yang menyiasat kejadian itu dan akan diletak di bawah Bab 7 Peruntukan PBB yang boleh menggunakan kuasa tentera.

Laporan siasatan oleh pasukan penyiasat antarabangsa akan diumumkan Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 11:18 PM