FOTO ihsan Azizah Mohd Rafi
FOTO ihsan Azizah Mohd Rafi
Oleh Wahi Aziz


Kuala Lumpur: Pelawak dan pengacara popular Zizan Razak, 31, terharu apabila dapat menunaikan impian peminat ciliknya Muhammad Adam Haikal, 7, yang menghidap pelbagai penyakit kronik dengan meluangkan masa bersama kanak-kanak itu sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam, semalam.

Zizan berkata, reaksi spontan kanak-kanak malang itu yang tergamam melihatnya muncul secara tiba-tiba di sisi katil amat menyentuh perasaannya.

“Sebak saya dibuatnya apabila melihat air muka Adam yang ternganga apabila nampak saya muncul secara tiba-tiba. Dia seperti tak percaya kelibat di depan matanya adalah saya.

“Lama dia tenung muka saya dan lama juga dia tersipu malu. Dia tidak kenal pun nama saya tapi hanya tahu watak lakonan saya iaitu Abang Long Fadil dan Cicakman lakonan saya.

“Saya dapat rasakan kegembiraannya bila kami mula berbual. Keadaan itu membuatkan saya jadi sebak sebab impian dia dapat ditunaikan,” katanya.

Adam yang menghidap penyakit thalassemia, hydrocephalus dan kerosakan buah pinggang serta saraf ditemani ibu angkatnya Azizah Mohd Rafi.

Difahamkan, Adam serta tiga adik-beradiknya yang lain dipelihara Azizah.

Kanak-kanak itu yang meminati watak lakonan Zizan iaitu Abang Long Fadil dan Cicakman sering meluahkan keinginannya kepada Azizah untuk berjumpa pelawak itu.

Menurut Zizan, dia membuat keputusan menziarahi Adam selepas dimaklumkan perkara itu oleh rakannya kelmarin yang melihat gambar Adam dimuat naik Azizah di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 7:02 PM