MANGSA ketika menerima rawatan di hospital. FOTO fail NSTP Nik Abdullah Nik Omar
MANGSA ketika menerima rawatan di hospital. FOTO fail NSTP Nik Abdullah Nik Omar
Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Seorang lagi individu ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung kes dera membabitkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim ketika dihubungi mengesahkan suspek adalah bapa saudara mangsa.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung tangkapan itu kerana siasatan sedang dijalankan.

"Saya sahkan penangkapan bapa saudara mangsa untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan reman suami isteri iaitu ibu tiri dan bapa kandung mangsa dera yang berakhir hari ini dilanjutkan tiga hari lagi untuk siasatan menyeluruh.

Harian Metro baru-baru ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam keadaan lemah dan tidak bermaya dipercayai didera ibu tiri di Rantau Panjang.

Mangsa bukan sahaja terpaksa menanggung derita kira-kira enam bulan, malah turut mengalami kecederaan serius apabila patah 13 tulang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 3:48 PM