Kuala Lumpur: Kebimbangan terhadap isu hutang Greece yang mempengaruhi pasaran saham Asia termasuk Bursa Malaysia akan mempercepat usaha kerajaan bagi merangsang ekonomi tempatan.

Ketua Pasaran Modal Ekuiti AmInvestment Bank, Yong Saiyeen menjangkakan kerajaan bakal mengumumkan lebih banyak projek pembinaan bermula Julai depan.

“Memandangkan ekonomi global kini menunjukkan tanda-tanda kelembapan dan jika ia adalah realiti, bank pusat ekonomi utama akan melancarkan fasa dua serta tiga pelonggaran kuantitatif mereka.

“Bagi bank pusat pasaran pesat berkembang seperti Malaysia, mereka akan hanya menumpukan kepada rangsangan fiskal memandangkan terdapat banyak projek prasarana yang belum lagi disiapkan,” katanya selepas pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO) Ikhmas Jaya Group Bhd (Ikhmas Jaya), di sini, semalam.

AmInvestment Bank ialah penasihat utama, penaja jamin dan ejen langganan bagi IPO itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ikhmas Jaya Datuk Ang Cheng Siong berkata, ketidaktentuan pasaran ekuiti disebabkan isu hutang Greece akan memberi kesan yang minimum kepada syarikat.

“Ini kerana kerajaan sudah memberi komitmen untuk melabur dalam lebih banyak projek infrastruktur dan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 sahaja nilai projek pembinaan lebih RM200 bilion.

“Saya tidak fikir krisis Greece akan menjejaskan saham berkaitan sektor pembinaan di Bursa Malaysia,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:18 AM