PERSEDIAAN awal bagi mengelakkan kehabisan stok sebelum tiba waktunya.
PERSEDIAAN awal bagi mengelakkan kehabisan stok sebelum tiba waktunya.
MENERIMA pelanggan lebih ramai selepas berbuka.
MENERIMA pelanggan lebih ramai selepas berbuka.
NORAMILIAWATI tidak menang tangan melayan pelanggan seorang diri tanpa bantuan pekerja.
NORAMILIAWATI tidak menang tangan melayan pelanggan seorang diri tanpa bantuan pekerja.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Ada beranggapan peluang menambah pendapatan apabila tibanya Ramadan tidak boleh dilepaskan hinggakan ada yang sanggup bercuti tanpa gaji bagi memberi tumpuan penuh pada perniagaan yang dilakukan.

Namun, berbeza bagi peniaga pakaian dan tudung yang sejak dari awal lagi sudah bertungkus-lumus melakukan persiapan sebelum menjelang bulan puasa demi memastikan permintaan pelanggannya dapat dipenuhi.

Pemilik Butik Avilia, Noramiliawati Mohamad Noor berkata, dia mula membuka perniagaan berkenaan pada November 2013. Mulanya, ia hanyalah perniagaan atas talian dan menjadikan platfom media sosial, Facebook sebagai medium memperkenalkan koleksinya.

“Apabila menerima pelanggan tetap yang semakin ramai, saya berpendapat sudah tiba masanya untuk membuka butik fizikal bagi memudahkan mereka melihat dengan lebih dekat koleksi yang digemari.

“Namun, apabila menjelang Ramadan sambutan yang diterima sangat luar biasa iaitu tiga kali ganda daripada bulan lain. Untuk hari biasa, saya hanya menyediakan sekurang-kurangnya 50 helai tudung dan selendang untuk setiap satu rekaan atau warna.

“Namun, jumlah berkenaan meningkat mendadak sebelum sambutan Aidilfitri. Walaupun senario ini sudah diduga, saya perlu melakukan perancangan awal bagi mengelakkan persiapan dilakukan dengan tergesa-gesa,” katanya.

Ujarnya, tahun ini dia lebih memfokuskan pada jualan selendang berbanding pakaian, itu pun tidak menang tangan untuk diselesaikan seorang diri.

Kira-kira 10,000 helai selendang didatangkan dalam lima rekaan untuk memenuhi permintaan daripada pelanggannya yang berpuas hati dengan potongan, keselesaan dan perincian yang digunakan.

Berdasarkan pengalaman lalu, dia harus membuat persediaan awal dari segi pemilihan fabrik, warna dan rekaan yang menjadi trend semasa serta digemari ramai bagi mengelakkan kekurangan stok selendang yang diinginkan.

Seawal Mac lagi dia sudah sibuk mencari fabrik selesa dan sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini untuk dipasarkan menjelang Ramadan. Justeru, apabila April muncul dia sudah boleh membuat pengeluaran selendang iaitu dari segi jahitan walaupun ia sebenarnya dianggap agak lewat.

Dia akan menghantar tempahan jahitan kepada penjahit tempatan kerana lebih mempercayai kekemasan dan keselesaan jahitan yang diperoleh. Selepas semua selendang siap dijahit, barulah dia melakukan penambahan elemen perincian pada selendang bagi menjadikan setiap helaian tampak lebih menarik.

Kebiasaannya, dia lebih gemar menambah perincian batu swarovski, bunga ataupun renda. Bagi memastikan semua aktiviti pembelian, pengeposan dan penjualan berjalan lancar, dia perlu mengupah lebih 10 pekerja sambilan di butiknya.

Cabaran berniaga selendang

“Untuk musim perayaan, ada kalanya pelanggan membeli sekurang-kurangnya tiga helai selendang terutama bagi pelanggan yang sudah lama mengenali jenama ini.

“Kebanyakan pelanggan mahu menyesuaikannya dengan busana raya yang dibeli di tempat lain atau dihadiahkan kepada adik-beradik dan ibu,” katanya.

Walaupun dia memberi keutamaan kepada penjualan secara dalam talian, tidak kurang juga ada yang lebih gemar mendapatkan koleksi rekaan selendang jenama berkenaan di butiknya di Taman Villa Tropika, Kajang.

Waktu rehat tengah hari atau selepas berbuka, butiknya akan menerima pelanggan yang ramai melebihi hari biasa kerana lokasinya strategik iaitu berhampiran stesen KTM Serdang dan kawasan pejabat.

Justeru, dia memanjangkan waktu operasi butiknya iaitu bermula dari jam 9.30 pagi hingga 9 malam setiap hari bagi memudahkan pelanggan berkunjung ke butiknya.

Biarpun menghadapi cabaran seperti terpaksa melewatkan pengeluaran produk kerana lambat mendapat fabrik yang dibeli, dia tetap berpuas hati kerana kebanyakan koleksi selendangnya kini sedia untuk dijual.

Ujarnya, dia tidak kisah menanggung kos yang tinggi asalkan harga selendangnya tidak perlu dinaikkan bagi menjaga kepuasan hati pelanggannya. Selain itu, dia juga perlu menghadapi cabaran menghasilkan rekaan yang boleh diterima ramai apatah lagi pada hari ini aliran fesyen Muslimah berkembang dengan pantas.

Justeru, dia perlu memerah idea dan melakukan kaji selidik sendiri bagi mendapatkan rekaan menarik walaupun terpaksa menukar lebih tiga rekaan dalam seminggu.

Pada masa sama, dia juga amat mengambil berat me–ngenai permintaan pelanggan yang mahukan helaian selendang yang dibeli supaya tampak senada dengan busana raya masing-masing.

Ada juga pelanggan yang gemar membeli di saat akhir tidak dapat menggayakan selendang di pagi raya disebabkan masalah penghantaran. Justeru, dia menasihati pelanggannya terutama yang mahu membeli secara atas talian supaya bertindak awal. Untuk pembelian atas talian, sebaiknya lakukan pembelian 10 hari sebelum tibanya hari lebaran bagi memastikan selendang dapat digayakan pada pagi raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 11:54 AM