Tokyo: Seorang wanita Jepun berusia 71 yang membelasah mati suaminya tahun lalu kerana mengadakan hubungan sulit 36 tahun lalu berjaya mengelak dikenakan hukuman penjara.

Asahi Shimbun melaporkan, ketika perbicaraannya, wanita terbabit mengaku dia kecewa dengan pengakuan suaminya yang berusia 79 tahun itu tidak lama sebelum kejadian mengenai hubungan sulit pada 1979 dengan kekasih lebih muda.

Malah, suaminya turut mengaku pergi bercuti bersama kekasihnya itu.

Wanita itu yang berkahwin pada usia 20 tahun berkata, dia setia sepanjang perkahwinannya, namun sudah lama mengesyaki suaminya mempunyai hubungan sulit.

“Saya tidak bersemuka dengannya kerana tidak mahu anak-anak melihat kami bertengkar.

“Namun, pengakuannya memang menyakitkan apatah lagi saya dalam keadaan tertekan kerana ketika itu dia memerlukan penjagaan rapi akibat sakit kanser,” katanya.

Suaminya meninggal dunia tahun lalu beberapa hari selepas dia memukul kepala dan muka lelaki itu berulang kali di rumah mereka di Tokyo.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun yang ditangguhkan selama lima tahun disebabkan penyesalan mendalam ditunjukkan tertuduh sepanjang perbicaraannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:14 AM