PESERTA meneliti kesan hakisan tanah luas akibat hujan
PESERTA meneliti kesan hakisan tanah luas akibat hujan
MAKANAN yang dibawa termasuk biskut dan mi segera menjadi alas perut.
MAKANAN yang dibawa termasuk biskut dan mi segera menjadi alas perut.
PESERTA tidak lupa menunaikan solat secara berjemaah.
PESERTA tidak lupa menunaikan solat secara berjemaah.
PESERTA berhenti untuk berehat melepaskan penat sebaik menemui alur air.
PESERTA berhenti untuk berehat melepaskan penat sebaik menemui alur air.
SERAMAI 25 ahli Persatuan Anak Muda Kelantan berjaya menawan Gunung Baha dan Gunung Ayam, Dabong, Kelantan dalam ekspedisi mereka baru-baru ini.
SERAMAI 25 ahli Persatuan Anak Muda Kelantan berjaya menawan Gunung Baha dan Gunung Ayam, Dabong, Kelantan dalam ekspedisi mereka baru-baru ini.
Oleh DJ Dolasoh


Memang ekstrem tetapi puas. Itu diakui 25 peserta ekspedisi mendaki dua gunung di Dabong, Gua Musang, Kelantan iaitu Gunung Baha dengan ketinggian 1,450 meter dari aras laut dan Gunung Ayam, 1,500 meter yang mengambil masa 10 jam untuk sampai ke puncaknya, baru-baru ini.

Aktiviti tiga hari dua malam itu dilakukan sebahagian daripada 500 ahli Persatuan Anak Muda Kelantan (PAMK) kerana mereka sememangnya sebelum ini diuji dengan pelbagai cabaran dalam aktiviti sosial dan kebajikan yang lasak.

Terakhir, mereka menjalankan aktiviti menyelamat ketika banjir besar melanda negeri Cik Siti Wan Kembang itu akhir tahun lalu dan kerja-kerja pemulihan pasca banjir di setiap daerah di negeri itu, baru-baru ini.

Peserta yang mendaki dua gunung itu membabitkan 20 lelaki dan lima wanita dengan paling muda remaja lelaki berusia 16 tahun dan paling tua wanita 53 tahun. Pendakian bermula dari Gunung Baha dan menuruninya sebelum mendaki Gunung Ayam.

Kedua-dua gunung yang terletak bersebelahan Gunung Stong mempunyai trek kecil tetapi liku laluan besar, sekali gus menjadi halangan sukar buat aktiviti pendakian. Ia juga menjadi faktor mengapa dua gunung ini jarang menerima pendaki.

Presiden PAMK, Nazri Deraman berkata, hampir semua peserta mengalami kekejangan otot selepas tiga jam ekspedisi bermula ketika menaiki Gunung Baha dan Gunung Ayam kerana keadaannya curam.

“Saya dan peserta terpaksa menggunakan tali beberapa kali ketika mendaki kedua-dua gunung itu kerana bentuknya curam. Beberapa trek pula terputus disebabkan berlaku tanah runtuh ketika banjir melanda akhir tahun lalu, menyebabkan kami membuat trek sendiri.

“Ekspedisi ini sebagai meraikan aktivis anak muda yang terbabit dalam misi bantuan banjir dan beberapa gelombang banjir di luar jangkaan di seluruh Kelantan bermula 16 Disember tahun lalu sehingga kerja pasca banjir selepas kira-kira 98 peratus berjaya diselesaikan,” katanya.

Menurut Nazri, pelbagai bentuk insentif lain turut diadakan untuk 500 ahli PAMK, antaranya pemberian anugerah dan sijil, jamuan dan perkhemahan secara berperingkat-peringkat sebagai menghargai jasa dan sumbangan sosial mereka.

Katanya, PAMK sentiasa bersiap sedia melakukan sebarang bentuk bantuan dan sumbangan, terutama tenaga fizikal pada bila-bila masa yang diperlukan, termasuk fenomena bencana alam seperti banjir.

“Kita bersedia menambah bilangan ahli PAMK supaya setiap daerah di Kelantan mempunyai ahli mencukupi dan mampu bertindak 24 jam dalam khidmat sosial kami,” katanya.

Sementara itu, jurupandu Pelancong ke Gunung Baha dan Gunung Ayam, Muhaamad Opie Borhanuddin, 31, berkata, pihaknya sedia berkhidmat untuk membolehkan pendaki gunung berjaya tiba di puncak kedua-dua gunung dan turun dengan selamat.

“Hari pertama, peserta berjaya tiba di puncak Gunung Baha jam 6 petang dan bermalam sebelum meneruskan perjalanan turun jam 9 pagi keesokannya untuk mendaki Gunung Ayam yang berkembar dengannya sebelum tiba ke puncaknya 10 jam kemudian.

“Dengan pengalaman yang ada, saya sentiasa memastikan setiap misi ekspedisi ke dua gunung berkenaan berjaya dan memberi manfaat kepada peserta,” katanya yang berpengalaman sembilan tahun dalam kerjaya pemandu pelancongan di situ.

Peserta, Muhammad Amirullah Abdullah, 21, berkata, pelbagai cabaran dihadapi sepanjang ekspedisi bersama rakan yang menuntut kesabaran, disiplin diri dan kerjasama ahli.

Katanya, ketika mendaki separuh daripada Gunung Ayam, dia diuji apabila tapak kasut dipakai tertanggal dan terpaksa mengikatnya menggunakan tali rafia yang dibawa peserta lain.

“Ketiadaan air terutama untuk minum dan berwuduk ketika di puncak Gunung Ayam sangat dirasai sebaik tiba jam 7 malam dan ketika hujan, kami menadahnya dengan tangan sebelum bertolak balik jam 8 pagi keesokannya.

“Bagaimanapun, semua kesukaran itu bagaikan hilang apabila tiba di puncak Gunung Ayam. Saya dapat menghayati keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan termasuk menyaksikan matahari menyinsing dan naik,” katanya.

Rakannya, Ayub Md Sulaiman, 23, pula berkata, cabaran mendaki kedua-dua gunung terbabit terasa apabila 10 peserta mengalami kekejangan urat sehingga terpaksa berhenti beberapa kali sebelum meneruskan ekspedisi.

“Semangat saling membantu antara kami dan keyakinan tinggi termasuk menunaikan solat berjemaah menyebabkan kami mampu meneruskan ekspedisi itu dengan jayanya meskipun ada kala basah kuyup kerana hujan,” katanya.

Peserta lain, Muhammad Azim Mohd Arshad, 23, berkata, kesukaran mendapatkan air di kawasan puncak antara pengalaman yang sukar dilupakan.

“Saya dan beberapa rakan terpaksa menahan diri daripada membuang air besar sepanjang berada di puncak Gunung Ayam kerana ketiadaan air untuk tujuan membasuh.

“Kami terpaksa berjimat menggunakan air dibawa dengan botol kecil yang diambil dari sumber mata air di kaki Gunung Ayam sebelum itu kerana ia cukup untuk menghilangkan dahaga,” katanya.

Peserta wanita, Nurhafizoh Thoharah Nazri, 18, pula berkata, beliau terkejut menyaksikan kawasan tanah runtuh yang besar sebaik tiba di pertengahan Gunung Ayam kira-kira 1,300 meter dari aras laut kesan hujan lebat dan banjir besar di Kelantan, Disember lalu.

“Saya dan peserta lain berhenti seketika di kawasan tanah runtuh itu untuk menyaksikan kesan kejadian yang mengakibatkan kawasan hutan itu menjadi lapang tanpa sebarang pokok dan menakutkan sehingga menimbulkan keinsafan terhadap kekuasaan Tuhan,” katanya.

Rakannya, Siti Zulfatihah Zahari, 22, berkata, ekspedisi itu memberi banyak manfaat kepadanya kerana pelbagai flora dan fauna yang tidak pernah dilihat sebelum ini ada di depan mata seperti bunga-bungaan, bunga rafflesia, periuk kera dan pokok bonsai di sepanjang jalan menuju ke puncak.

“Bagaimanapun, timbul rasa bimbang apabila terjumpa kesan tapak kaki gajah dan najisnya selain beberapa sarang landak dan babi hutan. Memang ekspedisi ini ekstrem tetapi kami puas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:09 AM