FOTO NFDP Malaysia
FOTO NFDP Malaysia
Oleh Mohd Firdaus Hashim

SKUAD bawah 13 tahun negara (B-13) menjuarai kejuaraan Ibercup Costa del Sol apabila menumbangkan kelab gergasi Portugal, Sporting CP, 2-1, pada final di Kompleks Sukan Munoz Perez, Marbella, Sepanyol, hari ini.

Ayam tambatan pasukan negara Luqman Hakim Samsudin dan Mohd Hariz Mansor muncul wira pasukan selepas masing-masing meledak satu jaringan, pada minit ke-12 dan 48.

Skuad muda negara itu menghampakan lawan yang diletakkan selaku pasukan pilihan pada aksi final itu.

Sebelum ini, skuad kendalian Lim Teong Kim mara ke pentas final selepas mengenepikan tentangan sengit Sevilla FC di separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti 7-6, yang memihak kepada Malaysia apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0, dalam masa sebenar.

Berdasarkan rangka jadual yang disusun, selepas ini pasukan negara akan diterbangkan ke Portugal bagi mengharungi Piala Iber Estoril.

Kejohanan berkenaan bermula 30 Jun hingga 5 Julai di mana pasukan Chivas Guadalajara adalah juara bertahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 10:28 PM