Bintang baru Liverpool Roberto Firmino (gambar) bukanlah seorang yang dikenali kerana dia bermula dari peringkat bawah di Brazil namun dia dilihat mempunyai potensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Nama Firmino mula menjadi sebutan sejak diperkatakan dalam ruangan gosip justeru ia bukan satu yang menghairankan apabila mula menjadi rebutan sejurus selepas jendela perpindahan di Eropah mula di buka.

Pemain tengah yang kreatif itu bakal beraksi bersama Liverpool selepas diikat dengan nilai £28 juta (RM165.5 juta), bukanlah seorang pemain yang dikenali ramai biarpun internet mampu membuatkan anda percaya betapa bernilai pemain yang pernah beraksi bersama Hoffenheim sejak beberapa musim lalu.

Biarpun banyak yang diperkatakan mengenai peralihan budaya bola sepak di Brazil yang menarik minat ramai pemainnya berhijrah ke Liga Perdana Inggeris bagaimanapun pemain berusia 23 tahun itu tidak meninggalkan impak besar dalam perlawanan domestik sebelum berhijrah ke Bundesliga.

Dilahirkan Maceio di bandar Alagoas, Firmino yang mempunyai pemandangan pantai yang cukup menarik, mula jatuh cinta dengan bola sepak sebaik saja dia mengenali apa itu bola sepak dan dapat bermain dengan baik dalam sukan itu.

Ibunya, CÌcera, baru-baru ini memaklumkan kepada sebuah stesen televisyen tempatan bahawa dia sering melihat anaknya itu tidur dengan bolanya dan sering me­nyelinap keluar dari rumah seawal 5 pagi untuk berlatih bola sepak.

Nama timbangannya ketika kecil adalah Rachinha - “kick-about.”

Ketika di zaman remaja, Firmino beraksi bersama pasukan Independente, sebuah kelab bola sepak amatur. Namun sesuatu yang lebih hebat berlaku dan ketika berusia 14 tahun dia dipanggil untuk menjalani ujian di sebuah kelab profesional tempatan Clube de Regatas Brasil (CRB) oleh Dona CÌcera.

Mempamerkan aksi cukup memukau dia berjaya memikat kelab dan dipilih beraksi di beberapa kejohanan antara negari dan liga tempatan, Tetapi menurut jurulatih pertamanya, dia belum mampu menjadi pemain berbakat yang dapat menarik perhatian pasukan Liverpool.

“Ketika dia beraksi bersama saya, dia seorang pemain pertahanan tengah,” kata Guilherme Farias awal bulan lalu.

“Dia mula mempamerkan aksi menyerang selepas berhijrah dan mampu menguasai bola dengan baik.”

Hanya satu yang menjadi penghalang buat Firmino pada peringkat umurnya ketika masih remaja iaitu baki wang dalam akaun banknya.

Dia berkata, dia dilahirkan dalam sebuah ‘keluarga sederhana’ tapi realitinya tidak seperti itu.

“Pada ketika itu, ayahnya tidak bekerja dan keluarganya sangat miskin,” kata Farias yang dianggap sebagai bapa angkat kepada pemain remaja itu.

“Saya membantunya mengeluarkan perbelanjaan untuk dia menyertai kejohanan di Sao Paulo. Saya membantunya mencari penaja. Saya tahu satu hari nanti ia akan berbaloi.”

CRB, bagaimanapun tidak mendapat sebarang manfaat hasil daripada kemurahan hati jurulatih mereka itu. Firmino ditawarkan untuk menjadi pemain profesional oleh kelab itu namun ia tidak berbaloi (gaji yang ditawarkan terlalu rendah jelas Farias).

Selepas menyertai sesi ujian bersama gergasi Sao Paulo yang tidak memberi sebarang hasil, Firmino memutuskan untuk ke Figueirense. Sebagai­mana yang diperkatakan aksinya di barisan hadapan mula mendapat perhatian dan berjaya menarik minat Hoffenheim untuk menyambarnya.

Bintang Firmino mula menyinar selepas itu dengan tato di badan dan mempunyai gaya permainan menarik menjadikan Ronaldinho inspirasinya. (Saya sentiasa mahu menjadi sepertinya) Dia masih lagi se­orang pemain yang merendah diri dan masih malu ketika berhadapan dengan kamera yang dilihat menjadi kelemahan utamanya.

“Seorang yang pemalu dan ia tidak pernah akan hilang dari diri saya,” katanya.

“Saya tidak akan melakukan sidang media dan saya tidak suka di temuramah. Tapi di atas padang saya adalah sebaliknya. Saya menjadi seorang yang berperwatakan berbeza.”

Mereka yang mengenalinya pasti tidak meragui tahap keupayaannya.

“Dia seorang pemain yang hebat dengan kepintaran luar biasa,” kata Marcellus Portella rakan kepada keluarganya yang melihat Firmino sejak dia berusia 13.

“Gaya dia menggelecek sangat bagus dan mempunyai visi terhadap permainan sejak masih kecil. Dia mempamerkan aksi yang begitu baik ketika di England.”

Firmino sendiri berharap penghijrahannya ke Anfield dapat memenuhi impiannya memenangi trofi sesuatu yang belum dapat dia miliki setakat ini.

“Saya tidak suka kekalahan,” katanya kepada wartawan di Brazil menjelang perlawanan Copa America mementang Paraguay hujung minggu ini.

“Saya sentiasa mahukan kemenangan dan gelaran. Saya fikir ia adalah masa yang tepat untuk langkah seterusnya.”

Peminat Liverpool berharap kehadiran Firmino dapat membantu mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 9:35 AM