Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Muncul juara program nyanyian My Starz LG musim kedua dan memiliki dua album, bukanlah jaminan buat Noriezuana Syed Shafudin atau Wana, mencipta nama dengan mudah dalam bidang seni.

Album pertama berjudul Siapa Wana dan kedua berjudul Wana bersama Warner Music Malaysia, jelas gagal menaikkan nama artis dari Skudai, Johor ini di mata peminat.

Mendiamkan diri daripada sebarang publisiti untuk seketika, Wana kini kembali bangkit dengan semangat baru dalam seni. Baginya kegagalan lalu tidak wajar dikenang dan dia mahu terus berusaha mencari kejayaan dalam kariernya.

"Saya sudah tamat kontrak dengan Warner Music sejak dua tahun lalu. Selepas muncul juara My Starz LG, saya terus dilamar sebagai artis mereka. Untuk album pertama saya masih hijau ketika itu dan ikut saja konsep yang mereka tetapkan.

"Menerusi album kedua, barulah saya diberi kelong-garan untuk terbabit sama memilih lagu. Dari album pertama, lagu yang dikenali peminat ialah Orang Biasa dan Ingin Bersama Kembali berduet dengan Nashrin, manakala album kedua pula dengan lagu Cinta Benar Cinta," katanya.

Wana, 28, yang kini me-ngikat kontrak dengan Alibi Music tidak menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Baginya apa yang dilalui adalah pengalaman berharga untuk mematangkan dirinya.

"Sebenarnya saya sendiri tidak meletakkan sasaran untuk popular. Saya sertai pelbagai program seperti AF dan My Starz LG kerana minat. Ketika di Johor Bahru lagi, saya dah aktif menyanyi.

"Apabila muncul juara dan berpeluang rakam album apa salahnya saya cuba nasib. Popular atau tidak, itu rezeki masing-masing. Sesetengah artis kadangkala laris di TV, tapi ada sebahagiannya pula laris menyanyi di luar.

"Saya bersyukur kerana masih ada tawaran menyanyi di pelbagai tempat serta aktif dalam persembahan teater muzikal. Diakui saya jarang keluar TV, tapi undangan menyanyi masih ada," terangnya.

Wana kini tampil dengan single terbaru berjudul Jikalau Kau Tahu. Lagu ciptaan Bront dan lirik Aizizan ini asalnya diberikan kepada penya-nyi lain, namun sudah rezeki Wana apabila berpeluang menyanyikannya.

"Lagu dan liriknya dibuat berdasarkan kisah cinta penyanyi itu. Mungkin ada sebab tertentu lagu ini kemudian diberikan kepada saya. Awalnya saya rakam lagu ini di Singapura bersama komposernya.

"Ketika itu saya belum terikat dengan mana-mana syarikat rakaman. Tanpa disangka lagu ini menarik minat Alibi Music yang sudah lama mengikuti per-kembangan saya.

"Selepas mengikat kontrak, saya kena rakamkan semula lagu ini di Kuala Lumpur. Bagi saya menghasilkan single lebih baik daripada buat album penuh kerana trend sekarang memang begini.

"Lagu berentak balada ini memang mencabar kerana nyanyian saya diiringi petikan piano sepenuhnya. Kalau lari sikit tempo pasti akan sumbang keseluruhannya.

"InsyaAllah lagu ini diharap berjaya menaikkan nama saya kepada peminat. Dua album sebelum ini berkonsep rancak sedangkan saya menggemari lagu balada," katanya.

Emak beri semangat

Anak kedua daripada tiga adik beradik ini sekali lagi menjelaskan tidak pernah menyesal dengan suratan nasibnya. Dia tidak mengeluh bahkan bersyukur kerana dianugerahkan kebolehan menyanyi.

"Sejak dulu saya anggap sebaik melangkah keluar daripada My Starz LG, saya ibaratnya bermula dari bawah semula. Alhamdulil-lah ada segelintir peminat masih kenal saya dan sering bertanyakan perkemba-ngan terbaru di laman sosial peribadi saya.

"Saya percaya mereka pasti sukakan lagu ini. Kalau kita sudah buat sebaik mungkin tentu akan diterima. Saya harap peminat dengar lagu ini dan bagi pandangan yang sejujurnya kerana saya suka berkongsi pandangan dengan semua orang.

"Apapun saya beruntung sering menerima kata-kata semangat daripada emak. Dia selalu beri motivasi agar saya tak mudah mengalah dalam bidang seni. Dalam hal ini, saya menjadikan penyanyi Alyah sebagai sumber inspirasi.

"Saya lihat dia bermula dari bawah dan menempuhi pelbagai cabaran sebelum berjaya menempatkan namanya pada kedudukan sekarang," kata Wana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:00 AM