HTC ONE M9+
HTC ONE M9+
Oleh Afiq Hanif


Ruang IT@Metro berkesempatan menguji peranti ‘flagship’ HTC model One M9+ yang dibawa masuk bagi menggantikan M9.

Perbezaan antara kedua-duanya tidak terlalu jelas kelihatan cuma skrin saja iaitu M9+ menggunakan paparan 5.2 inci berbanding 5.0 inci pada M9.

M9+ lebih baik apabila mempunyai pengimbas jari di bahagian depan di samping didapati pada dua lensa berbanding satu pada M9.

Dari aspek rekaan, M9+ mempunyai rekaan yang sama seperti One M8 sebelum dan dilengkapkan dengan paparan beresolusi QHD 2560 x 1440 piksel.

Ia mempunyai gelas Corning Gorilla Glass 4 tahan lasak dengan dua pembesar suara atas bawah menggunakan HTC Boomsound dan Dolby Audio.

HTC One M9+ datang dengan pemprosesan Mediatek, Helio X10 octa core berkelajuan 2.2Ghz 64-bit, tetapi penguji tidak tertarik dengan ciri terbabit dan HTC patut mengekalkan Qualcomm sebagai penyedia pemprosesan.

Ditambah pula, dengan harga jualan RM2,599 yang bukannya murah sepatutnya memberikan pengguna pilihan Qualcomm yang menawarkan kuasa cip lebih baik.

Peranti ini menggunakan setoran dalaman 32GB dengan slot kad memori mikroSD sehingga 2TB yang boleh dipasang.

Beberapa sambungan biasa kelihatan pada peranti ini termasuk WiFi 802.11 b/g/n dan bluetooth 4.0.

Antaramuka One M9+ masih mengekalkan Sense versi ketujuh pada Android 5.0 Lollipop namun tiada perubahan ciri ketara berbanding Sense 6 sebelum ini.

Paparan utama, Home masih menggunakan apps drawer yang menyusun aplikasi cuma terdapat rua­ngan khas yang mengesan lokasi anda, misalnya rumah atau pejabat dan memaparkan aplikasi yang sering digunakan mengikut lokasi pengguna.

Bagi melihat notifikasi terbaru, hanya leretkan dari atas ke bawah dan ia tersedia sebelah-menyebelah dengan beberapa tetapan biasa seperti sambungan WiFi, bluetooth, tahap kecerahan skrin dan sebagainya.

Meskipun popular dengan fungsi kamera Ultrapixel sebelum ini, HTC tidak memasangnya pada M9+, sekali gus hanya menawarkan kamera biasa dengan resolusi 20MP.

Cuma kamera depan saja yang masih mengekalkan Ultrapixel dan ciri unik seperti aplikasi mencantikkan wajah, Beautify kekal dimasukkan dalam perisian kamera ini.

INFO

HTC ONE M9+

- Pengeluar: HTC

- Pertanyaan: HTC

- Laman Web: htc.com

- Harga: RM2,599

- Ciri: telefon pintar saiz 5.2 inci

- Pro: Boomsound

- Kontra: Tak patut guna Mediatek, harga mahal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 10:18 AM