KEPULAN asap memenuhi kawasan depan Parlimen Afghanistan selepas pengebom nekad meletupkan kereta. - Foto AP
KEPULAN asap memenuhi kawasan depan Parlimen Afghanistan selepas pengebom nekad meletupkan kereta. - Foto AP

Kabul: Serangan Taliban terhadap bangunan Parlimen Afghanistan berakhir selepas dua jam apabila polis berjaya menembak mati tujuh penyerang sebentar tadi.

Jurucakap Kementerian Dalam Ngeri, Sediq Sediqqi melalui twitter berkata, tiada Ahli Parlimen yang cedera dalam serangan itu.

Menurutnya, pasukan khas polis melancarkan serangan balas ketika memindahkan Ahli Parlimen dan kakitangan, dua jam selepas Taliban melancarkan serangan.

Serangan Taliban dimulakan dengan pengebom nekad meletupkan kereta bersama dirinya di luar bangunan sebelum lelaki bersenjata menyerang bangunan itu menyebabkan 21 orang cedera, termasuk lima wanita.

Ahli Parlimen Harif Rahmani, berkata penyerang gagal memasuki bangunan kerana pertahanan kuat pasukan keselamatan.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, yang mengaku pihaknya bertanggungjawab melakukan serangan itu berkata: “Kami melancarkan serangan ketika perhimpunan penting memperkenalkan menteri pertahanan baru Afghanistan, Masoom Stanekzai, kepada Parlimen,”

Pengunduran tentera asing membolehkan Taliban melancarkan serangan besar dan semalam, Taliban menawan Dasht-e-Archi di wilayah Kunduz selepas Chardara, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 5:41 PM