Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Berita sedih menimpa skuad negara sebelum bermulanya saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium selepas penjaga gol utama S Kumar kehilangan anak tersayang berusia tiga tahun Haarshenn semalam.

Anak kedua Kumar itu mengembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipercayai akibat jangkitan kuman.

Situasi terbaru itu menyaksikan Kumar kembali bergegas pulang ke Malaysia dan dijangka tiba hari ini sekali gus terpaksa menarik diri daripada beraksi di Liga Hoki Dunia.

Serentak dengan itu juga, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengambil keputusan untuk menggantikan Kumar dengan penjaga gol muda negara Muhammad Hafizuddin Othman.

“Sememangnya berita ini satu kejutan besar kepada warga hoki negara. Ia mungkin merentap semangat pasukan negara tetapi perjuangan perlu diteruskan.

“Untuk Hafizuddin, dia sememangnya sudah bersedia untuk beraksi di Belgium dan dijangka terbang esok malam (hari ini),” kata Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal.

Sementara itu, Hafizuddin berkata, dia terkejut dengan berita kematian anak Kumar serta keputusan MHC menghantarnya ke Belgium.

“Saya masih di kampung di Kuala Terengganu ketika ini. Tapi saya memang sudah bersedia pada bila-bila masa untuk dipanggil bersama skuad kebangsaan.

“Roslan (Jamaluddin) pasti akan menjadi pilihan utama untuk diturunkan. Tapi saya juga boleh beraksi jika khidmat diperlukan.

“Apapun, takziah kepada Kumar. Harap dia dapat bersabar dengan dugaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 10:59 AM