Oleh Nazarali Saeril


Kuala Lumpur:

'Kalau mandi biar basah

Jadi amalan anak petani

Jika tuan tuan puan puan membeli-belah

Jangan lupa kelebihan di pasar tani'.

Itu pantun dipersembahkan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman bagi menjawab soalan Nogeh anak Gumbek (BN-Mas Gading) berkaitan isu pasar tani.

Bagaimanapun, kurang 10 minit kemudian, kemanisan pantun berkenaan hilang apabila Tajuddin bertikam lidah dengan ahli parlimen pembangkang.

Ia berlaku apabila Tajuddin menggelar pemimpin tertentu di Pulau Pinang sebagai 'tok pekong' dan beliau mengatakan gelaran tok pekong terbabit diberi oleh ahli parlimen daripada pembangkang sendiri sebelum itu kerana tidak puas hati dengan pemimpin terbabit.

Semuanya bermula apabila Tajuddin memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang hingga kini tidak pernah meluluskan permohonan untuk menyediakan tapak bagi pasar tani di negeri terbabit.

"Ni pasal ada yang berhormat panggil tok pekong ada di Pulau Pinang, kena menyembah dia tu," katanya.

Kenyataan Tajuddin (BN) kemudiannya dibalas ahli parlimen pembangkang yang bertanya 'siapa itu (merujuk kepada siapa tok pekong)'.

Tajuddin membalas 'yang berhormat sana tu, dia ialah kawan awak'.

Ahli parlimen pembangkang kemudiannya mengatakan 'mana boleh cakap kawan awak, spesifik la siapa'.

Tajuddin kemudiannya menyatakan kawan awak itu merujuk kepada 'Yang Berhormat Mansor (bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Mansor Othman), Yang Berhormat Mansor dari mana, do you remember (adakah awak ingat)'.

Ahli parlimen pembangkang yang tidak puas hati kemudiannya menjawab 'you should remember (awak yang sepatutnya ingat)'.

Tajuddin membalas 'i try to remember (saya cuba ingat kembali) dia punya kawasan, mantan timbalan ketua menteri'.

Ia dibalas ahli parlimen pembangkang 'you wasting time (awak membuang masa)'.

Tajuddin kemudiannya mengatakan beliau tidak membuang masa.

"Saya tidak buang masa, you dont want to listen, you get out (awak tidak mahu mendengar, awak boleh keluar) , awak pergi minum air la kalau tak nak dengar. Saya tidak mengancam sesiapa, saya cuba ingatkan siapa yang bercakap (merujuk kepada siapa yang memberi gelaran tok pekong)," katanya.

Pertikaman lidah berkenaan kemudiannya dihentikan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Yang berhormat, sekarang ini jam 11.32 pagi, ini bermakna sesi pertanyaan bagi jawapan lisan sudah berakhir," katanya.

Sebelum pertikaman lidah itu, Tajuddin memaklumkan setiap pengusaha pasar tani dikenakan pelbagai peraturan untuk memastikan makanan dijual bersih serta berkualiti dan mereka boleh dikenakan tindakan seperti digantung daripada berniaga jika gagal menuruti undang-undang ditetapkan.

Pada masa sama, Tajuddin turut menjelaskan bahawa orang ramai sukar untuk ke pasar tani kerana kekurangan kawasan parkir malah peranan kerajaan negeri seperti Pulau Pinang turut menjejaskan perkembangan pasar tani.

Menurut Tajuddin, bukan setakat kawasan parkir malah kerajaan negeri Pulau Pinang enggan meluluskan permohonan untuk menyediakan tapak bagi pasar tani di negeri berkenaan sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 4:52 PM