Taman Mini Kelulut.
Taman Mini Kelulut.
Ismail Sabri beramah mesra dengan ejen pelancongan.
Ismail Sabri beramah mesra dengan ejen pelancongan.
Ismail Sabri dan delegasi asing melihat demonstrasi membuat sabun daripada herba di MAEPS.
Ismail Sabri dan delegasi asing melihat demonstrasi membuat sabun daripada herba di MAEPS.
Oleh Mohamad Hussin

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengambil inisiatif mewujudkan Taman Agropelancongan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) April lalu bagi mengelak menjadi projek ‘gajah putih’

Tapak MAEPS digunakan dua tahun sekali untuk Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

Taman Agropelancongan MAEPS atau ‘MAEPS Agrotourism Park’ dilaksanakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui anak syarikatnya, MAEPS Management Sdn Bhd.

Penulis yang berpeluang mengikuti lawatan MOA dan delegasi asing terpegun kerana kawasan berkenaan patut diadakan aktiviti daripada dibiarkan sunyi sepi.

Program agropelancongan MAEPS menawarkan daya tarikan terdiri daripada tiga komponen iaitu Laman Agro membabitkan 10 laman pertanian antaranya laman padi, perikanan ternakan, sayur, herba, florikultur, nanas, jentera pertanian, ladang mini madu kelulut dan pasar tani.

Rumah Negeriku membabitkan 13 rumah negeri yang dijangka beroperasi sepenuhnya selepas Aidilfitri nanti.

Rekreasi Agro membabitkan aktiviti riadah seperti sukan berkuda, go-kart, ‘orbing ball’, absaeling, paintball, perkhemahan, team-building dan berbasikal.

Majlis Pelancaran Taman Agropelancongan MAEPS disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MOA Datuk Mohd Arif Ab Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pemba­ngunan) MOA Azini Mohd Shahid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOA Datuk Azizan Mohamad Sidin dan Ketua Pengarah MARDI merangkap Pengerusi MAEPS Datuk Sharif Haron.

Ismail Sabri dalam ucapannya berkata, MAHA antara fiesta pertanian terbesar dan berprestij yang tersenarai dalam kalendar pelancongan negara.

Beliau berkata, inisiatif MOA menjadikan MAEPS yang juga lokasi MAHA sebagai Taman Agropelancongan adalah sesuai bagi memaksimumkan penggunaan kemudahan infrastruktur berbanding digunakan setiap dua tahun.

“Saya percaya kemudahan infrastruktur dan produk agropelancongan sedia ada di MAEPS ini boleh menjadi tarikan pengunjung.

“Kemudahan infrastruktur dan persekitaran MAEPS dengan keindahan tasik dan tumbuhan sedia ada cukup kuat untuk menarik mereka datang beriadah bersama keluarga.

“Produk agropelancongan sedia ada seperti laman pertanian berkenaan perlu dimanfaat sepenuhnya untuk menarik orang ramai,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kawasan seluas 130 hektar itu mempunyai beberapa komponen utama iaitu lima bangunan pameran, lapan laman pertanian ‘Agriculture Showground’, Laman Sayur dan Herba, Laman Florikultur, Laman Padi, Laman Perikanan, Laman Nanas, Laman Jentera, Laman Ternakan, dan Taman Mini Kelulut.

Beliau berkata, ia juga mengetengahkan 13 Pavilion Negeri memaparkan arkitek bangunan negeri di Malaysia, kawasan lapang yang meliputi tasik, laluan ‘joging’, perkhemahan, tempat makan, aktiviti ekuin dan spa.

“Usaha menjadikan MAEPS yang juga tapak rasmi MAHA sebagai Taman Agropelancongan selari dengan inisiatif kerajaan membangunkan sektor pelancongan negara yang penting kepada pembangunan ekonomi negara.

“Agropelancongan berpotensi memberi pulangan besar kepada ekonomi negara. Komponen agrotourism diberi fokus khas dalam MAHA dan selari dengan inisiatif kerajaan membangunkan sektor pelancongan negara,” katanya.

Menurutnya, beliau sudah berbincang dengan setiap kerajaan negeri untuk membina rumah negeri masing-masing

di MAEPS dan semua rumah berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya selepas Aidilfitri.

“Melalui rumah negeri yang dibuka setiap hari atau sekurang-kurangnya tiga hari seminggu iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, pelbagai promosi pelancongan di negeri berkaitan dapat dipersembahkan seperti kebudayaan juga makanan.

“Melaluinya, pelancong bukan saja dapat melawat rumah negeri untuk mengetahui keunikan destinasi pelancongan sesebuah negeri, malah turut dapat melawat laman agro,” katanya.

Ismail Sabri mengakui agropelancongan berpotensi besar memberi pulangan lumayan kepada ekonomi negara.

“Komponen agrotourism diberi fokus khas dalam MAHA dan selari dengan inisiatif kerajaan membangunkan sektor pelancongan negara.

“Pada tahun 2013, sektor pelancongan menyumbang lebih RM65.4 bilion kepada pendapatan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak termasuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tourism Malaysia, ejen pelancongan serta persatuan perlu diperkemaskan semula.

“Pada majlis ini juga, terdapat enam syarikat ejen pelancongan bersetuju menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi membawa pelancong untuk datang melawat ke Taman Agropelancongan MAEPS.

“Saya juga menyarankan supaya satu jalinan kerjasama melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di antara MOA dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam menjadikan taman berkenaan sebagai destinasi agropelancongan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 3:44 PM