HARRIF (kanan) melakukan henjutan di garisan penamat.
HARRIF (kanan) melakukan henjutan di garisan penamat.

Empat tahun lalu Mohd Harrif Saleh hampir bersara dari sukan lumba basikal dan hanya mahu menghabiskan masa mencandat sotong, tapi semalam dia sekali lagi mempamerkan kehebatan dengan menguasai acara lepas beramai-ramai lebuh raya lelaki.

Ia emas kedua Harrif selepas memenangi acara kriterium Jumaat lalu sekali gus menyamai rekod yang pernah dilakukan Suhardi Hassan pada temasya di Manila 2005.

Pelumba berusia 27 tahun itu tidak sempat mengangkat tangan tanda kemenangan sebaik menamatkan perlumbaan sejauh 144 kilometer dengan catatan masa 3 jam 19 minit 33 saat akibat kain rentang yang terjatuh ketika dia terlebih dulu sampai ke garisan penamat.

Dia mengatasi saingan terdekat dari Vietnam Le Van Duan manakala rakan sepasukan Anuar Manan yang banyak membantunya memberi ruang pada 200 pecutan terakhir meraih gangsa.

“Tiada tekanan dalam acara ini kerana kami sudah memenangi emas kriterium. Tugas kami agak mudah apabila tiada pecahan pelumba apabila memasuki 60km terakhir.

“Masa 1 km terakhir saya sudah fokus membuat pecutan. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang berusaha keras untuk kemenangan ini. Cuma saya tidak mengangkat tangan ketika sampai ke garisan penamat, takut terjatuh kerana secara tiba-tiba kain rentang jatuh dan kami tidak sempat mengelak,” katanya.

Harrif tidak dipilih ke Sukan SEA Myanmar dua tahun lalu serta diketepikan daripada skuad ke Sukan Olimpik 2012 menganggap kejayaan ini cukup penting untuk dia dan rakan sepasukan membuktikan keupayaan mereka.

“Pada 2012 saya berjaya mengutip mata untuk layak ke Sukan Olimpik London dalam acara ini tapi dua minggu sebelum pergi saya digugurkan dan tempat saya diambil Amir (Mustafa Rusli) untuk bersama Adiq (Husainie Othman) ke sana.

“Memang saya sangat kecewa dan mahu bersara ketika itu. Dua bulan saya tidak berlatih dan hanya menghabiskan masa pergi mencandat sotong.

“Tapi atas sokongan jurulatih, keluarga dan rakan-rakan saya kembali berlatih,” katanya yang kini bersama Kelab Lumba Basikal Terengganu (TSG).

Di Sukan SEA Jakarta 2011, Harrif meraih dua emas namun dalam acara trek dan dua tahun kemudian di Myanmar namanya tidak disenaraikan bersama skuad lebuh raya walaupun memiliki rekod baik dalam beberapa perlumbaan tempatan dan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 10:14 AM